
Laporan/foto: Norlia Mili (Sarawak)
KUCHING, 13 Ogos (Malaysiaaktif) – Pengagihan tiket masuk percuma untuk majlis Pembukaan Sukan Malaysia (SUKMA) XXI terus laris ibarat pisang goreng panas apabila ribuan orang ramai sanggup berbaris di Stadium Sarawak seawal pukul 3.00 pagi untuk mendapatkan tiket tersebut.

Mabel Salim, petugas di kaunter penyerahan tiket .
Menurut petugas kaunter penyerahan tiket Mabel Salim, 37, sebanyak 7,500 tiket akan diagihkan pada hari ini dan 10 kaunter telah dibuka untuk memastikan proses penyerahan tiket dapat berjalan lancar.
“Polis Diraja Malaysia dan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak turut membantu untuk menjaga keselamatan di kawasan Stadium Sarawak ini,” katanya.
Salah seorang pengunjung yang merupakan suri rumah Siti Hazar Kassim Ramli, 39, berkata keinginannya untuk melihat pembukaan SUKMA XXI secara langsung, mendorong beliau dan suami untuk beratur di Stadium Sarawak seawal pukul 3.30 pagi bagi memastikan mereka mendapat tiket.

Siti Hazar (kiri) berjaya mendapat tiket percuma setelah beratur selama enam jam.
“Saya ingin melihat dan merasai sendiri kemeriahan majlis perasmian SUKMA Sarawak di samping melihat persembahan dua orang anak saya yang terlibat dalam persembahan koir serta memberi sokongan moral kepada kontinjen Sarawak yang akan berentap dalam temasya SUKMA kali ini.
“Alhamdulillah selepas enam jam beratur, saya berjaya mendapatkan empat keping tiket,” ujarnya.
Sebanyak 7,500 tiket telah diagihkan pada hari pertama pembukaan kaunter semalam.
-ZS-