
Laporan/foto: Siti Fairuz Ngatenan/Nurfaqiha Yusoff (Sarawak)
KOTA SAMARAHAN, 11 Ogos (Malaysiaaktif) – Kumpulan projek Budakkaran Kolej Komuniti Santubong telah berjaya mendapat Anugerah Projek Impact Digital Community Tourism (IDCT) Harapan dalam Grand Showcase IDCT2023 yang diadakan di The Summer Mall, di sini semalam.

Foto kenangan Kumpulan Budakkaran bersama dif-dif kehormat.
Budakkaran Kolej Komuniti Santubong telah memilih Kampung Buntal sebagai komuniti pelancongan bagi membantu komuniti menjalankan pemasaran digital untuk mempromosikan produk nelayan mereka.
“Selain terkenal dengan hasil makanan laut yang segar, hidden gems (permata tersembunyi) Kampung Buntal ialah pemandangan sunrise (matahari terbit) tercantik di Kuching yang boleh dilihat dari Buntal Esplanade,” kata mentor Budakkaran, Nurfaqiha Yusoff.
Kumpulan Budakkaran telah diketuai oleh Nur Fatihah HanisAffindi dan bersama empat orang rakannya iaitu Muhammad Izzat Zikri Hassan, Muhammad Faiz Abu Osman, Muhammad Aiman Iskhander dan Muhammad Aizy Azri Gadaffi dan mereka merupakan pelajar Semester 3 Sijil Teknologi Elektrik.

Ketua Kumpulan Budakkaran Nur Fatihah Hanis (kiri) menyampaikan cenderamata kepada YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud (kanan).
Program Grand Showcase IDCT 2023 merupakan anjuran bersama Unit Keusahawanan Kementerian Pengajian Tinggi dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Ia juga merupakan program keusahawanan peringkat nasional yang telah dilaksanakan selama setahun bermula pada bulan Jun 2023 dan berakhir hari ini melibatkan penyertaan pelajar dari 16 Institut Pengajian Tinggi Awam di Sabah dan Sarawak, 16 komuniti terpilih serta rakan-rakan strategik pelancongan di Borneo.
Majlis perasmian penutupan Program Grand Showcase IDCT 2023 telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Ts. Mustapha Sakmud.
-ZS-