
Laporan/foto: Maznah Ngah/Shuhaimi Ahmad
KUALA TERENGGANU, 9 Ogos (Malaysiaaktif) – Persembahan T-Baton Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu di Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 peringkat Negeri Terengganu berjaya menarik minat sekali gus membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan pengunjung yang hadir, di sini semalam.

Ketua Polis Negeri Terengganu telah merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 Peringkat Negeri Terengganu.
Ketua Polis Negeri Terengganu Dato’ Mohd Khairi Khairudin dalam ucapan perasmiannya, berkata program yang diadakan pada hari ni adalah salah satu kempen bagi menyemarakkan kibaran dan pemasangan Jalur Gemilang di seluruh negeri ini sama ada di kediaman-kediaman, premis-premis perniagaan serta di bangunan-bangunan kerajaan dan swasta.
“Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang harus dijayakan sebagai tanda taat setia kepada negara tanpa mengira latar belakang kaum, bangsa dan agama.
“Pada hari ini juga kita libatkan seramai 20 anggota PDRM bagi demontrasi T-Baton diketuai oleh Tuan Pengelola Karate PDRM Terengganu Inspektor Rosfan Mohamed.

Pelepasan Konvoi Jalur Gemilang mengelilingi bandar Kuala Terengganu.
“Demontrasi tersebut mempamerkan bagaimana pihak polis menunjukkan kemahiran dan membuat tangkapan menggunakan T-Baton serta gimik serangan penjenayah ketika penyerahan bendera dilakukan,” katanya.
Selain itu, perarakan 13 buah kenderaan Konvoi Jalur Gemilang yang disertai oleh pelbagai jabatan dan agensi seperti Pos Malaysia, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan pejabat-pejabat Penerangan Daerah menyusuri jalan-jalan di sekitar bandar Kuala Terengganu memeriahkan lagi suasana program.
Turut diadakan kuiz kenegaraan dan deklamasi sajak, pameran oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kesihatan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Arkib Negara Malaysia dan Program Jualan Rahmah.
-ZS-