Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Dua Belas ‘Choley’ Merdeka Sambut Kemerdekaan ke-67

By 24 Ogos 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat/Mohd Sani Ahmad Jatin

KUALA PERLIS, 24 Ogos (Malaysiaaktif) – Bagi mencipta kelainan untuk menyambut bulan kebangsaan ke-67, ahli-ahli Komuniti MADANI Seberang Alor, di sini telah menganjurkan perarakan ‘Choley’ Merdeka yang dihiasi dengan bendera Jalur Gemilang.

Menurut Ketua Komuniti Madani Kampung Seberang Alor, Maszeta Musa, 48, sebanyak dua belas ‘choley’ atau kenderaan khas telah di hiasi dengan bendera Jalur Gemilang dan bendera negeri Perlis serta beberapa lagi hiasan yang bermotifkan hari kemerdekaan.

“Kenderaan ‘choley’ ini merupakan kenderaan bermotor buatan sendiri yang bertujuan untuk membawa pelancong mengelilingi kampung-kampung yang berada di kawasan Kuala Perlis ini, tetapi sempena Bulan Kebangsaan pihak kami, Komuniti MADANI Seberang Alor telah berkerjasama dengan pengusaha ‘choley’ ini untuk menghias kenderaan tersebut dengan beberapa hiasan bertemakan Hari Kebangsaan,” ujarnya semalam.

Tambah beliau lagi, yang lebih mengujakan ialah selama ini ‘choley-choley’ ini cuma membawa pelancong mengelilingi beberapa kampung yang  terdapat di Kampung Seberang Alor dan Seberang Ramai sahaja tetapi pada malam ini ia membawa ahli-ahli komuniti dan anggota Jabatan Penerangan Negeri Perlis mengelilingi seluruh pekan Kuala Perlis sejauh hampir lima kilometer.

“Perarakan bermula dari Kampung  Seberang Alor menuju ke Jalan Sarawak dan melalui Brasmana Hotel, medan selera serta Jeti Kuala Perlis dan di beberapa tempat penumpang choley tersebut turun sambil mengedarkan bendera Jalur Gemilang kepada orang ramai,” ujarnya.

Ahli ahli komuniti Madani Seberang Alor mengibarkan bendera Jalur Gemilang di be tempat menarik di Pekan Kuala Perlis.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perlis Mazli Hamdan memuji hasil usaha aktiviti Komuniti MADANI Kampung Seberang Alor ini.

“Saya lihat orang ramai yang berada di dalam Pekan Kuala Perlis sangat teruja melihat ‘choley’ yang dihiasai dengan warna-warna kemerdekaan dan ditambah lampu warna-warni mengelilingi pekan Kuala Perlis.

“Ini merupakan satu pendekatan terbaru dalam menyampaikan hasrat cintakan negara sempena Bulan Kebangsaan selain konvoi bermotor dan larian kemerdekaan,” ujarnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda