Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Garis Panduan Perancangan Kuala Lumpur Dilancar

By 7 Ogos 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohammad Hafizee Md Hashim/Parameswary Lekshmnan (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Malaysiaaktif) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa telah melancarkan 10 Garis Panduan Perancangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk memastikan amalan tatakelola yang baik diamalkan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Garis Panduan ini bukan sekadar dokumen semata-mata, tetapi ia adalah bukti nyata bahawa DBKL sedang menganjak ke arah pengurusan bandar yang lebih berdaya saing dan inovatif dalam memastikan pembangunan bandar raya Kuala Lumpur menjadi lebih lestari dan selaras dengan keperluan masa kini.

Dr. Zaliha Mustafa ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Garis Panduan Perancangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024.

“Dengan adanya panduan yang jelas dan telus seperti ini, setiap langkah perancangan dan pelaksanaan pembangunan akan dapat dipantau dengan lebih efektif selain menilai tahap keberkesanan sesuatu polisi dan strategi yang dilaksanakan serta mempromosikan penambahbaikan yang berterusan,” kata Zaliha ketika berucap melancarkan garis panduan itu di Auditorium Bandaraya, Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut, di sini semalam.

Menurutnya, populasi di ibu kota dianggarkan melebihi 8.8 juta orang dengan peningkatan tahunan sebanyak 2.25 peratus berbanding tahun lalu.

Katanya lagi, jumlah itu dijangka akan terus bertambah mencecah 9.8 juta menjelang tahun 2030 dan pertumbuhan pesat itu menuntut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menjadi lebih proaktif dalam perancangan dan penyediaan infrastruktur.

Gimik perasmian.

“Setiap garis panduan itu adalah hasil daripada kajian terperinci dan konsultasi dengan pelbagai pihak berkepentingan. Dengan pendekatan yang inklusif seperti ini, saya berharap agar ia akan memberi impak positif kepada setiap warga kota,” katanya.

Antara garis panduan itu adalah perancangan Residensi MADANI, kemudahan Ruang Penjaja MADANI, perancangan dan pembangunan petak pengecasan kenderaan elektrik dan semakan bangunan rendah karbon.

Ia dilihat akan menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar yang lebih terancang, tersusun dan mapan selaras dengan matlamat dan visi Kuala Lumpur ‘Bandar Untuk Semua’.

-ZS-

Tinggalkan komen anda