Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

‘Jaga Tepi Kain Orang’ Demi Keselamatan

By 28 Ogos 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)

ISKANDAR PUTERI, 28 Ogos (Malaysiaaktif) – Komuniti memainkan peranan penting dalam usaha menentang keganasan dan ekstremisme di Malaysia dengan meningkatkan kepekaan terhadap isu dan ancaman keselamatan.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Keselamatan) Majlis Keselamatan Negara (MKN) Hamzah Ishak menyeru komuniti lebih ambil tahu permasalahan dalam kejiranan agar tiada unsur radikalisasi terjadi tanpa disedari oleh orang ramai.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Keselamatan) Majlis Keselamatan Negara (MKN) Hamzah Ishak, berkata masyarakat dalam komuniti perlu mengambil sikap ‘jaga tepi kain orang’ atau ambil tahu mengenai permasalahan yang sedang berlaku dalam kejiranan setempat.

“Dalam hidup berjiran, kita kena tahulah masalah yang dihadapi oleh jiran-jiran kita supaya tidak ada antara mereka yang mempunyai ideologi yang negatif dan seterusnya mengambil langkah dengan menggunakan kekerasan.

“Dalam konteks keselamatan, kita perlu jaga tepi kain orang lain agar tanda-tanda awal radikalisasi dapat dikenal pasti,” katanya ketika ditemui selepas program Bicara Eksekutif Keselamatan Negara Negeri Johor Tahun 2024: Johor Menyangkal Ideologi Ekstremisme di Dewan Banquet Bangunan Sultan Ismail, di sini kelmarin.

Hamzah menambah, penganjuran Bicara Eksekutif kali ini adalah susulan insiden yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram sehingga mengakibatkan dua anggota polis dan seorang suspek maut.

Sesi bual bicara Bicara Eksekutif MKN Johor menampilkan tiga orang pakar dari bidang akademik, tindak balas pengganas dan bekas ahli kumpulan pengganas Islamic State (ISIS) untuk berkongsi pengalaman, pandangan dan cadangan menangani keganasan dan ekstremisme di Malaysia.

Salah seorang peserta program Marhainis Nasrin, 59, berkata perkongsian menerusi bual bicara sebegini sangat bersesuaian dalam memberi kesedaran kepada semua golongan masyarakat.

“Isu dan ancaman keselamatan ini perlu dihebahkan hingga peringkat akar umbi seperti di kawasan perkampungan dan sekolah agar masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan ideologi negatif yang disemai tanpa kita sedari,” katanya.

Turut hadir Pengarah Keselamatan MKN Negeri Johor Mohd Hairul Anuar Bohro.

-ZS-

Tinggalkan komen anda