
Laporan/foto: Rahman Ishak/Zaidy Salim (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Seluruh rakyat Malaysia perlu sentiasa menyanjung dan mengenang segala jasa yang dilakukan oleh pasukan keselamatan negara yang sanggup berkorban jiwa dan raga untuk mempertahankan keamanan negara.
Pasukan keselamatan sebagai benterng terakhir tanpa mengira waktu menjalankan tanggungjawab berjuang sehingga sanggup mempertaruhkan nyawa diterjemahkan dalam perarakan Sambutan Hari Kebangsaan yang berlangsung di Dataran Putrajaya, di sini pagi tadi.
Pancaragam Pusat Latihan Muzik Tentera Darat (Puzida) mendahului perarakan diikuti pembawa Jalur Gemilang berukuran 24.3 meter x 12.2 meter oleh 100 pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Leftenan Kolonel Alimudin Abdul Karim, 41, dari Rejimen Pertama Artileri Diraja (Para) (10 Briged Para), berharap kepada rakyat Malaysia agar sentiasa yakin kepada tentera dan juga badan beruniform yang sentiasa menjaga keamanan negara dan sentiasa berkorban jiwa untuk memastikan kedaulatan negara terjamin.
“Hari Kebangsaan ke-67 dengan tema Malaysia Madani Jiwa Merdeka yang mana saya selaku Ketua Kontinjen Para berasa berbangga kerana dapat menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa ketumbukan tentera masih lagi relevan pada masa ini dan juga mampu untuk menjaga keselamatan negara,” katanya.
Sambutan bertemakan Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka, disemarakkan dengan perbarisan dan perarakan dijayakan 17,262 peserta, 57 kontinjen, 22 pasukan pancaragam, 343 aset darat, 37 udara dan 112 haiwan dalam perkhidmatan.

Penguasa Kanan Bomba 1 Muhamad Khairul mengharapkan generasi baharu menjiwai jiwa merdeka.
Penguasa Kanan Bomba 1, Bahagian Latihan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Muhamad Khairul Sulaiman, 55, merasakan sambutan pada kali ini adalah lebih hebat dan bersemangat berbanding sambutan tahun lalu.
“Saya mengharapkan pertama sekali generasi-generasi yang baharu yang tidak bersama-sama memerdekakan negara, menjiwai jiwa merdeka dan dapat menanamkan satu semangat jati diri yang kuat kepada negara kita, negara yang tercinta,” katanya.
Pemerhati Udara, Pasukan Gerakan Udara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Koperal Adeline Liu, 27, yang pertama kali menyertai perbarisan Hari Kebangsaan mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan yang ke-67 kepada seluruh rakyat Malaysia.

Adeline, kali pertama menyertai perbarisan Hari Kebangsaan.
Adeline, 27, yang berasal dari Kuching, Sarawak yang kali pertama menyertai perbarisan Hari Kebangsaan turut mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan yang ke-67 kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Terdapat pelbagai jenis badan beruniform seperti Polis Udara, Gasukan Gerakan Am, Unit Tindakan Khas dan banyak lagi dengan pelatih dari Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur,” katanya yang berasal dari Kuching, Sarawak.
Putrajaya menjadi tuan rumah kali keenam selepas julung kali diadakan pada tahun 2003, seterusnya pada 2005, 2018, 2019 dan 2023.
Inspektor Doris Mayau, 31, dari Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat), PDRM, Bukit Aman, berkata sambutan pada tahun ini sangat meriah dengan kehadiran ramai pengunjung untuk bersama-sama meraikan Hari Hebangsaan dan menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kemerdekaan yang kita kecapi hari ini adalah satu daripada titik peluh pejuang-pejuang yang terdahulu,” kata Inspektor Doris Mayau
“Walaupun kita berbilang kaum, kita bersatu hati untuk sama-sama menjaga negara kita tercinta mengekalkan keamanan yang telah sedia ada dan bersama-samalah kita mengukuhkan perpaduan.
“Mengekalkan kemerdekaan adalah salah satu tanggungjawab sosial kita sebagai rakyat Malaysia tak kira bangsa, agama dan kaum. Kemerdekaan yang kita kecapi hari ini adalah satu daripada titik peluh pejuang-pejuang yang terdahulu, kita harus kekalkan, kita harus bersama-sama untuk kekalkan untuk menjaga kedaulatan negara kita yang tercinta,” katanya.
-RI