
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/Blue Dolphin Swim Club
LABUAN, 18 Ogos (Malaysiaaktif) – ‘Jom Swim Syiok Syiok Swimming Competition’ telah mendapat sambutan menggalakkan daripada penggemar sukan renang di Labuan, semalam.

Para ahli jawatankuasa dan sukarelawan yang terlibat menjayakan pertandingan kali ini.
Menurut Presiden Blue Dolphin Swim Club Mashkuri Datuk Harun, seramai 93 peserta termasuk enam peserta golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menyertai pertandingan itu melebihi sasaran mereka yang hanya mencari 50 peserta pada peringkat awal.
“Pertandingan yang disertai perenang berumur 12 tahun ke bawah termasuk seorang peserta yang berusia tiga tahun itu bermatlamat untuk memberikan pendedahan awal kepada perenang muda dan memberi peluang kepada mereka mencungkil potensi mereka dalam sukan itu.

Para ibu bapa yang hadir memberikan sokongan.
“Golongan perenang OKU juga tidak dikecualikan dimana pertandingan ini membuka penyertaan untuk kategori S6, S10 dan S14,” jelasnya semalam.
Mashkuri merakamkan penghargaan kepada rakan strategik sebagai penganjur bersama pertandingan itu iaitu Persatuan Renang Labuan dan Red Onion serta para penaja antaranya Asian Supply Base Sdn. Bhd, Megah Port dan Rancha Rancha Aerated Water.
“Terima kasih juga kepada kepada para peserta, ibu bapa, ahli jawatankuasa, sukarelawan yang memberi sokongan serta berusaha keras merealisasikan penganjuran kali ini dengan jayanya,” katanya.
Pada pertandingan itu, Kategori Lelaki Terbaik Keseluruhan dimenangi oleh Mohammad Nizam Abd Majib manakala Raisya Tihani Johny Abdul Hakim memenangi bagi kategori perempuan.
Pertandingan dirasmikan Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Labuan, Felix Den Anthony Paru serta dihadiri Presiden Persatuan Renang Labuan dan Red Onion Sahrul Bahri Ahmad.
-ZS-