
Laporan/foto: Mohammad Rasuli/Mior Asrul Hadi (Bagan Datuk)
HUTAN MELINTANG, 9 Ogos (Malaysiaaktif) – Program Kaunter Bergerak anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang di Kampung Tanah Lalang, di sini kelmarin menjadi medan pertemuan penduduk untuk menyuarakan permasalahan yang dihadapi kepada pemimpin.

Wasanthee berharap kaunter bergerak ini memudahkan rakyat bertemu dengannya.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang Wasanthee Sinnasamy, program julung kali diadakan itu dilaksanakan oleh pihaknya sebagai insiatif untuk penduduk tempatan yang ingin berurusan agar tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan perkhidmatannya.
“Antara perkhidmatan yang memerlukan perhatian termasuklah permohonan untuk baik pulih rumah, permohonan bantuan kebajikan, permohonan bantuan pertanian, aduan berkaitan jalan rosak dan sebagainya,” ujarnya.
Pada masa sama, turut diadakan hebahan berkaitan inisiatif terkini oleh Kerajaan Madani yang dilaksanakan bagi tujuan membantu ekonomi rakyat terutama golongan sasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah yang diberi sehingga RM2,500 berbanding RM1,800 sebelum ini dan bantuan Sejati Madani yang bertujuan memperkasa komuniti melalui aktiviti peningkatan sosioekonomi.

Wasanthee akan terus mendekati dan membantu masyarakat setempat.
“Melalui pertemuan secara langsung ini, pihak kami dapat memahami isu yang dihadapi oleh penduduk tempatan dan akan berusaha mencari jalan penyelesaian yang berkesan.
“Kami juga komited untuk terus mendekati dan membantu masyarakat setempat dalam menangani segala isu yang timbul agar kesejahteraan dan kebajikan mereka terpelihara,” katanya.
Sementara itu, pesara, Soem Ahmad, 57, berkata program seumpama ini wajar diteruskan kerana melalui perkhidmatan seperti ini rakyat lebih mudah untuk meluahkan permasalahan yang dihadapi kepada pemimpin selain dapat mengetahui dengan lebih jelas inisiatif terkini yang ditawarkan oleh Kerajaan Madani kepada rakyat.
“Terima kasih kepada Pusat Khidmat Masyarakat DUN Hutan Melintang dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tanah Lalang atas usaha menjayakan program ini,” ujarnya.
-ZS-