Skip to main content
Berita Sabah & LabuanSabah

Kembara Sains Borneo Perkasa Agenda STI ke Sabah dan Sarawak

By 3 Ogos 2024Oktober 1st, 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Juslie Bacle/Mohd Shakir Md Salleh/Mahader Lahairi (Sabah)

LAHAD DATU, 3 Ogos (Malaysiaaktif) – Penganjuran Program Kembara Sains Borneo (KSB) 2024 mampu memperkasa agenda Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di seluruh negara termasuk komuniti di Sabah dan Sarawak.

Mohammad Yusof ketika berucap pada pelancaran program KSB 2024

Pengembaraan di bawah inisiatif Pusat Sains Negara (PSN) itu turut melibatkan lebih 20 sekolah yang terpilih sebagai lokasi persinggahan yang dijangka akan memanfaatkan seramai 15 ribu orang peserta.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dato Mohammad Yusof Apdal berkata MOSTI serius dalam usaha merakyatkan sains di kalangan masyarakat Malaysia.

“Antaranya membawakan pengalaman penerokaan dan pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada masyarakat setempat dengan tujuan untuk meningkatkan minat, pemahaman dan kemahiran dalam bidang ini.

“Istimewanya KSB 2024 akan menjelajah ke sepuluh daerah di Sabah bermula di Lahad Datu melalui Kinabatangan, Ranau dan berakhir di Kota Kinabalu. Selepas itu akan ke Sarawak bermula di Miri dan berakhir di Kuching,” katanya ketika berucap melancarkan Program Kembara Sains Borneo 2024 di sini semalam.

Ahli Parlimen Lahad Datu itu juga menegaskan, MOSTI sentiasa melaksanakan pelbagai program dan inisiatif berteraskan rangka kerja Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 bagi memperkukuh dan memantap peranan STI sebagai asas dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

“Melalui program ini, PSN akan melaksanakan pelbagai aktiviti interaktif yang menarik berkonsepkan Hands On, Minds On, Hearts On selaras dengan usaha memperkenalkan pembelajaran sains bukan formal kepada masyarakat.

“Antara aktiviti yang akan diadakan sepanjang penjelajahan KSB 2024 adalah sesi Ceritera Sebalik Radas daripada saintis-saintis terkenal, Kinect Sport, Drone Challenge, Demonstrasi Sains, Let’s Xperiment, STEM Challenge, Mini Planetarium, Planet Virtual Reality dan banyak lagi,” ujarnya.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI Ruziah Shafei, Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim, Pengarah Pusat Sains Negara Mohammad Fuad Rahman dan Pengerusi Hibiscus Petroleum Berhad Zainul Rahim Mohd Zain.

-AA-

Tinggalkan komen anda