
Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)
RUNGKUP, 29 Ogos (Malaysiaaktif) – Komuniti MADANI Rungkup 1 (KMR1) terus melakukan edaran Jalur Gemilang di sekitar Mukim Rungkup menjelang sambutan Hari Kebangsaan negara ke-67.

Edaran risalah kenegaraan turut dilakukan,
Pengerusinya Shahrizam Mohd Amin, berkata pihaknya terus mempergiat kempen Satu Rumah Satu Jalur Gemilang (1R1JG) melalui program Jiwa@Merdeka Komuniti MADANI Rungkup 1.
“Program ini merupakan kerjasama antara KMR1, Pejabat Penerangan Daerah dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
“Misi program ini adalah untuk mengedar sebanyak 400 Jalur Gemilang di beberapa lokasi tumpuan orang ramai,” ujarnya semalam.

Orang ramai teruja menerima Jalur Gemilang.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi KMR1 Mohd Salleh Tajul Arus, berkata selain edaran Jalur Gemilang, edaran risalah dan taklimat kenegaraan turut dilakukan.
“Harapan kami agar inisiatif Perdana Menteri untuk rakyat negara ini menzahirkan semangat patriotik melalui kibaran Jalur Gemilang di setiap rumah akan menjadi kenyataan,” katanya.
-ZS-