
Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Mohammad Ezwandi (Perak)
IPOH, 26 Ogos (Malaysiaaktif) – Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Negeri Perak 2024 memulakan misi menjelajah keseluruhan 13 buah daerah selepas pelepasan konvoi ini disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Nor Sham Rahman di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pagi tadi.

Yosri menyerahkan plak KMJG kepada Datuk Nor Sham sebagai tanda kenangan.
Konvoi kali ini melibatkan 20 buah kenderaan agensi kerajaan dan swasta dengan motosikal berkuasa tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertanggungjawab sebagai kawalan trafik dan keselamatan.
Menurut Pengarah Penerangan Negeri Yosri Abu Mahsin, konvoi KMJG membawa misi untuk menghebahkan kepada masyarakat agar sama-sama menyemarakkan Bulan Kebangsaan.
“Selain itu, adalah penting untuk kita sebagai rakyat mengibarkan bendera kebanggaan kita dan menyahut inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG).

Kenderaan jabatan yang terlibat dalam konvoi KMJG Peringkat Negeri Perak.
“Konvoi akan melakukan persinggahan di kawasan tumpuan orang ramai seperti balai raya, stesen minyak, sekolah, premis perniagaan dan sebagainya,” katanya.
Tambah beliau, pengisian konvoi KMJG ini termasuklah program pemimpin bersama masyarakat dan edaran Jalur Gemilang di kawasan tumpuan terpilih.
Konvoi KMJG Negeri Perak akan melakukan siri menjelajah daerah selama empat hari iaitu sehingga 29 Ogos ini.
-ZS-