
Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid/Mohammad Ezwandi (Perak)
TELUK INTAN, 28 Ogos (Malaysiaaktif) – Lebih 300 pelajar, guru dan warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Aziz berasa teruja kerana buat pertama kalinya sekolah tersebut menjadi lokasi persinggahan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Negeri Perak bagi peringkat daerah Hilir Perak.

Mohammad Amirulhadi ketika menyempurnakan gimik perasmian.
Ketibaan konvoi KMJG Perak 2024 membabitkan 20 buah kenderaan agensi kerajaan dan swasta itu disambut dalam suasana penuh kemeriahan oleh warga sekolah di Dewan Azizian, di sini kelmarin.
Penolong Pegawai Daerah Hilir Perak Mohammad Amirulhadi Mohammad Hafed, berkata beliau percaya program KMJG ini dirangka bukanlah sekadar untuk menyemarakkan suasana sambutan Bulan Kebangsaan semata-mata namun ia berupaya menjadi wadah untuk mengeratkan lagi silaturahim, kerjasama dan perpaduan antara agensi kerajaan dan masyarakat setempat.

Sesi pelepasan konvoi ke lokasi seterusnya.
“Saya turut berharap agar program ini menjadi platform kepada semua terutama para pelajar supaya mempunyai semangat yang sentiasa teruja untuk meraikan Hari Kebangsaan dan memupuk perasaan hormat dan sayangkan Jalur Gemilang,” ujarnya ketika merasmikan program.
Konvoi yang diketuai oleh Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perak Nur Azrina Zainal Ariff ini akan meneruskan misi menjelajah ke seluruh negeri dan pengembaraannya dijadualkan berakhir pada Khamis (esok).
-ZS-