Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

KMJG Perak Semarak Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang

By 4 Ogos 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Mohammad Ezwandi (Perak)

SITIAWAN, 4 Ogos (Malaysiaaktif) – Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Negeri Perak kembali menggelorakan semangat patriotik dalam kalangan rakyat sejurus Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perak 2024 di Dataran Putra Bandar Lumut, di sini semalam.

Mohammad Nizar (kiri) melekatkan Jalur Gemilang bermagnet pada kenderaan terlibat konvoi

Pengarah Penerangan Negeri Perak Yosri Abu Mahsin berkata, konvoi ini dilaksanakan sebagai suatu bentuk hebahan kepada masyarakat untuk sama-sama menghargai, menghormati dan mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang sambutan bulan kebangsaan.

“Konvoi kembara ini menjadi acara tahunan yang dianjurkan setiap tahun sempena sambutan bulan kebangsaan serta Hari Malaysia dan semoga matlamatnya dapat menyemarakkan inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelaras Konvoi Mohd Fairus Mohd Razali berkata, konvoi KMJG ini telah memulakan siri jelajah daerah Manjung selepas pra pelancarannya dilakukan di lokasi ini, kelmarin.

Kehadiran konvoi KMJG di Pekan Kampung Koh, Sitiawan mendapat sambutan meriah daripada komuniti setempat

“Perjalanan konvoi meliputi tiga persinggahan iaitu Pekan Pantai Remis, Pekan Beruas dan Pekan Kampung Koh dengan jarak keseluruhan dari Dataran Putra Bandar Lumut sepanjang 211km.

“Pada 6 Ogos ini, konvoi KMJG Perak akan bergerak dari Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menuju ke Kerian untuk menyambut baton Jalur Gemilang daripada KMJG Pulau Pinang.

“Dari situ, konvoi kita akan melalui beberapa kawasan melibatkan daerah di negeri ini sebelum berakhir pada 9 Ogos di Behrang untuk sesi penyerahan baton kepada KMJG Selangor,” ujarnya.

Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Negeri Perak disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastrukstur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mewakili Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

-AA-

Tinggalkan komen anda