
Laporan/foto: Zaidi Jamin/Jabatan Penerangan (Sabah)
MEMBAKUT, 12 Ogos (Malaysiaaktif) – Hubungan baik bersama komuniti peranan penting bukan sahaja sebagai medium penyampai maklumat, tetapi juga dalam mengekang penyebaran berita palsu serta memperkukuh perpaduan negara.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin Datuk Haji Mohd. Arif, berkata hubungan yang baik bersama komuniti tidak hanya penting dalam pemasaran dan promosi maklumat tetapi juga dalam mencorak dan mengekalkan perpaduan serta keamanan negara melalui program-program kenegaraan.

Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor ketika menyampaikan Watikah Rasmi Penubuhan Komuniti Madani kepada Pengerusi-pengerusi Komuniti Madani melibatkan Komuniti di DUN Membakut, dan DUN Bongawan.
“Melalui komuniti, selain mengukuhkan lagi semangat perpaduan di kalangan masyarakat, hubungan yang terbina berupaya mempengaruhi sikap dan perilaku komuniti untuk terus menyokong organisasi melalui program yang dianjurkan untuk kebaikan bersama.
“Selain menjadi medium pengantara yang paling mudah dan berkesan, organisasi dapat mengetahui sambutan orang ramai terhadap perkhidmatan yang ditawarkan terutama program-program pembangunan yang dilancarkan,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis Perasmian Karnival Kita MADANI Peringkat Negeri Sabah dan Upacara Perlepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 bertempat di Dewan Terbuka Membakut pada Sabtu.
Tambahnya, melalui program bersama komuniti seperti Karnival Kita MADANI, maklumat berkaitan dasar kerajaan mahupun program-program pembangunan kerajaan akan dimaklumkan kepada masyarakat, sekali gus mendorong masyarakat melibatkan diri bersama dalam agenda pembangunan kerajaan.
“Seiring dengan peredaran masa, saya juga berharap setiap komuniti yang ditubuhkan mampu meningkatan kualiti penyampaian dan perkhidmatan serta sentiasa bertindak menyemarakkan budaya kreatif dan inovatif yang boleh memberi impak serta manfaat kepada komuniti dan organisasi,” jelasnya.

Ariffin semasa upacara perlepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024.
“Saya berharap setiap Komuniti MADANI di daerah ini terus proaktif membantu kerajaan dalam memberi maklumat yang tepat dan sahih. Tingkatkan usaha membetulkan salah faham serta bertindak bijak memberikan tindak balas terhadap pengkritik terutama pembawa berita palsu yang mengelirukan,” ujarnya.
Program Karnival Kita MADANI Peringkat Negeri Sabah merupakan program turun padang dan sesi libat urus Jabatan Penerangan (JaPen) bagi menyantuni masyarakat setempat dalam suasana yang santai.
Antara pengisian aktiviti tersebut termasuklah, pameran informasi melibatkan 40 pelbagai agensi kerajaan dan swasta, saringan kesihatan percuma dan program derma darah, Program Jualan Rahmah, tidak ketinggalan persembahan hiburan berinformasi artis PENTARAMA Jabatan Penerangan, taklimat isu semasa dan sebagainya.
Majlis perasmian turut diserikan dengan penyampaian Watikah Rasmi Penubuhan Komuniti Madani kepada Pengerusi-pengerusi Komuniti MADANI melibatkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut dan DUN Bongawan.
Pada majlis tersebut Ariffin turut melepaskan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang melibatkan 20 kenderaan dengan 60 orang peserta.
-ZS-