
Laporan/foto: Fairuzan Abdul Majid (Muar)
MUAR, 20 Ogos (Malaysiaaktif) – Penubuhan Komuniti MADANI diharap dapat memperkasakan usaha penyaluran maklumat khususnya mengenai program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Hasrin berharap penubuhan Komuniti MADANI menjadi platform perkongsian maklumat menerusi pelbagai aktiviti bersama masyarakat.
Pegawai Daerah Muar Hasrin Kamal Hashim, berkata Komuniti MADANI juga boleh menjadi platform perkongsian maklumat menerusi pelbagai program yang dianjurkan bersama masyarakat.
“Peruntukan yang disalurkan kepada Komuniti MADANI merupakan salah satu faktor kemampuan komuniti ini untuk melaksanakan program yang melibatkan komuniti setempat.
“Barisan jawatankuasa yang dilantik diharapkan dapat menjalankan kewajipan yang telah diamanahkan melalui sumber peruntukan yang disalurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia dengan cekap, bijak dan berintegriti,” katanya ketika merasmikan Program Jiwa Komuniti MADANI @ Merdeka dan Majlis Ramah Mesra Bersama Komuniti MADANI Daerah Muar, di sini semalam.

Terdapat 21 buah Komuniti MADANI telah ditubuhkan di daerah Muar yang akan bekerjasama dengan Pejabat Penerangan Daerah Muar dalam usaha menyebarluaskan maklumat berkaitan inisiatif kerajaan.
Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2024, Hasrin turut menyempurnakan penyerahan Jalur Gemilang kepada 21 orang Ketua Komuniti MADANI yang dilantik bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam komuniti masing-masing.
Taklimat berkaitan Panduan dan Peraturan Komuniti MADANI anjuran Pejabat Penerangan Daerah Muar turut disampaikan oleh Pegawai Penerangan Daerah Muar Fairuzan Abdul Majid.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang Selamat Takim.
-ZS-