
Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat
KANGAR, 5 Ogos (Malaysiaaktif) – Kelainan bagi peserta Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perlis bagi hari kedua di Perlis semalam adalah ciri-ciri klasik dan tradisi yang diketengahkan di beberapa persinggahan ketika bertemu mesra dengan masyarakat setempat.
Menurut Presiden Suzuki VStrom Owners Club Malaysia yang menyertai #KMJG2024, Mohamad Zaidi Yahaya, kelainannya bukan sahaja dari segi laluan dan perjalanannya, namun juga konsep tradisi yang diketengahkan.

Persembahan seni silat sebagai pembuka tirai bagi pelepasan kepada Ketua Konvoi negeri Kedah.
Katanya, perjalanan konvoi selama dua hari ini terserlah dengan keindahan serta kedamaian yang ada di negeri Perlis.
“Peserta konvoi melalui laluan di tepian laut, melalui pemandangan sawah padi dan juga laluan yang menyerlahkan keindahan alam semula jadi iaitu bukit dan gunung, sangat memukau para peserta konvoi terutama peserta bermotorsikal.
“Terasa tenang dan damai ketika kami peserta konvoi motosikal berkuasa tinggi melalui dan menikmati keindahan alam di Perlis,” ujarnya.
Turut disajikan kepada 150 peserta konvoi di Perlis, adalah beberapa ciri-ciri klasik dan tradisi seperti menu makanan iaitu laksa dan lauk-pauk kampung seperti pekasam ikan lampam dan kari ayam bersama betik.

Persembahan tarian Siam ketika di titik semakan terakhir di Perlis.
Ketika di perhentian ke-9, iaitu perhentian terakhir di Kampung Baru Panggas, seramai tujuh pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Panggas mempersembahkan tarian Siam diiringi lagu Cintapulat.
Menurut Penyelaras Persatuan Kesenian dan Kebudayaan SK Panggas Nazri Rawi, tarian tradisi tersebut adalah tarian untuk majlis keraian.
Para peserta konvoi juga dipersembahkan seni silat dan bunga pahar sebagai simbolik berakhirnya #KMJG2024 di Negeri Perlis.
-ZS-