
Laporan/foto: Muhamad Zaini Dollah (Seberang Perai Selatan)
SUNGAI ACHEH, 7 Ogos (Malaysiaaktif) – Ketibaan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 Peringkat Negeri Pulau Pinang disambut meriah lebih 913 pelajar dan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Acheh, yang menjadi lokasi singgah, semalam.

Pelajar sabar menanti ketibaan konvoi KMJG.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Acheh Datuk Hj Rashidi Zinol, usia kemerdekaan negara baru mencapai 67 tahun sedangkan negara kita dijajah hampir 500 tahun dan terpaksa melalui beberapa fasa yang sukar untuk mencapai kemerdekaan.
“Sebagai menghargai perjuangan orang terdahulu dan membuktikan cinta pada tanah air, marilah sama-sama kita memasang satu bendera di rumah masing-masing, menandakan betapa kasih dan sayangnya kita kepada negara,” ujarnya.

Ketibaan Hj Rashidi merasmikan program KMJG.
Konvoi KMJG diketuai Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Pulau PinangHasmiza Hussin, diiringi pelbagai kenderaan jabatan kerajaan, agensi swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk motosikal berkuasa tinggi daripada Suzuki V Strom Owners Club Malaysia (SVOCM) meneruskan perjalanan ke SMK Teluk Panglima Bukit Gantang, Parit Buntar bagi penyerahan Jalur Gemilang kepada konvoi negeri Perak.
-ZS-