
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 12 Ogos (Malaysiaaktif) – Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh mengesa 410,000 kenderaan yang layak mendapatkan fleet card berbuat demikian secepat mungkin.
Katanya, sehingga kini data menunjukkan hanya 257,000 daripadanya telah membuat permohonan tersebut.
“Jurang yang besar itu dibimbangi menimbulkan masalah kepada kenaikan harga barang,” katanya.
Justeru, Fuziah menyarankan mereka yang layak segera membuat permohonan bagi mendapatkan penyasaran subidi diesel berkenaan.
“Tdak perlu ada banyak lori atau kenderaan, lori satu tan pun layak membuat memohon kad tersebut.
“Apabila layak tetapi tidak memohon fleet card ada kemungkinan memberikan kesan kepada harga barang ditawarkan,” jelasnya.

Fuziah memotong riben perasmian Restoran Ayam Gepuk Top Global di Taman Sri Gombak
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan pembukaan Restoran Ayam Gepuk Top Global cawangan Sri Gombak hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya telah memohon syarikat minyak untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran kad berkenaan bagi memendekkan tempoh menunggu.
“Apabila permohonan telah dibuat ke KPDN proses seterusnya adalah memohon ke syarikat minyak.
“Terdapat lima syarikat utama dan pemohon boleh memilih tiga daripadanya,” katanya.
Menurutnya, proses menunggu biasanya dalam tempoh tiga minggu namun disebabkan permohonan overload (beban lebih) pada Jun dan Julai menyebabkan masa menunggu dilanjutkan sehingga sebulan.
“KPDN telah mengesa syarikat berkaitan untuk mempercepat pengeluaran bagi melancarkan proses penyasaran subsidi berkenaan.
“Pemohon yang mempunyai lori persendirian juga diberikan pilihan alternatif melalui ‘cash card’ yang tempoh menunggu dapat dipendekkan,” ujarnya.
Kerajaan memperkenalkan mekanisme Kad Fleet Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pada Mei lalu bagi memastikan tiada lagi ketirisan dalam pemberian subsidi kepada sektor pengangkutan darat.
-ZS-