
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/Bomba Selayang
SELAYANG, 10 Ogos (Malaysiaaktif) – Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang memeriahkan bulan kebangsaan dengan menghasilkan Jalur Gemilang bersaiz gergasi menggunakan hos terpakai.

Salah seorang anggota bomba yang turut terlibat dalam penghasilan Jalur Gemilang gegasi daripada hos terpakai.
Ketua Balai Bomba Selayang Zaidi Ahtan, berkata sebanyak 14 hos digunakan untuk menyiapkan bendera sepanjang 30 meter yang dipasang pada menara ‘Hos Tower’ di balai berkenaan sejak minggu lepas.
Menurutnya, bendera berkenaan hasil cetusan idea dua pegawai iaitu Muhammad Faiz Hanafi Jauri dan Mohamad Azizi Kassim dengan bantuan 14 anggota lain daripada Pasukan A.
“Kami kumpulkan hos lama yang hendak dilupuskan dari beberapa BBP di Selangor sebelum projek dimulakan.

Kerjasama dan kreativiti anggota bomba menghasilkan Jalur Gemilang gergasi menunjukkan semangat patriotisme yang tinggi.
“Kami peruntukkan antara satu ke dua jam sehari ketika tiada operasi menyelamat untuk menjayakan projek ini dan mengambil masa dua minggu untuk disiapkan,” katanya.
Jelasnya, bendera seberat 20 kilogram itu kemudian dipasang menggunakan tali dan kayu yang ditarik dengan kekuatan 14 anggota.
“Satu kepuasan kepada kami apabila melihat bendera ini kukuh berkibar megah setiap kali ditiup angin.
“Setiap tahun, apabila tiba bulan kemerdekaan, setiap premis dan bangunan akan dihiasi pemasangan bendera.
“Kali ini kami cipta keunikan membina bendera menggunakan hos yang tidak asing dengan kerja hakiki kami memadamkan kebakaran, ” katanya.
-ZS-