
Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin (Langkawi)
LANGKAWI, 16 Ogos (Malaysiaaktif) – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah menganjurkan Majlis Rahmah Mesra Madani yang melibatkan sesi libat urus bersama nelayan-nelayan di Langkawi yang diadakan di Kompleks Perikanan LKIM Penarak, di sini kelmarin.

Penyampaian Sumbangan kepada para peserta yang terpilih sempena Program Rahmah Mesra Madani Anjuran LKIM.
Pengerusi LKIM Haji Muhammad Faiz Fadzil, berkata program bertujuan untuk meningkatkan pendapatan serta taraf hidup nelayan golongan B40 melalui bantuan peralatan penangkapan ikan dan program-program sokongan lain.
“Majlis ini menyaksikan pelaksanaan Program Peningkatan Pendapatan – Insentif/Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan (Touch Point) yang direka untuk membantu golongan nelayan meningkatkan produktiviti dan kecekapan dalam aktiviti penangkapan ikan,” katanya.
Menurutnya, sebanyak RM225 ribu telah diperuntukkan untuk program ini pada tahun 2024 bagi nelayan di bawah LKIM Negeri Kedah.

Para peserta dan penerima sumbangan yang hadir menjayakan program Rahmah Mesra Madani Anjuran LKIM yang diadakan di Kompleks Perikanan LKIM Penarak, Langkawi.
“LKIM sangat berkomitmen dalam mempertingkatkan kesejahteraan sosioekonomi komuniti nelayan di Malaysia khususnya di Pulau Langkawi sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan golongan B40 tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara,” ujarnya.
Salah seorang peserta yang menerima bantuan Mohd Shukri Jaafar, 58, dari Kampung Sungai Itau, amat bersyukur dan berterima kasih dengan bantuan yang diterima.
“Dengan bantuan peralatan ini dapatlah saya gunakan untuk meningkatkan lagi produktiviti penangkapan ikan dan meningkatkan pendapatan,” katanya.
Turut hadir Pengarah Bahagian Perancangan dan Pembangunan Rashima Baharuddin, Pengarah Bahagian Pembangunan Masyrarakat dan Pertubuhan Nelayan Norfajarwati Baharuddin dan Pengarah LKIM Negeri Kedah Mohd Fauzi Ghazali.
-ZS-