
Laporan/foto: Zaidy Salim (Putrajaya)/Jabatan Penerangan
PUTRAJAYA, 4 Ogos (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia akan meneruskan usaha untuk membantu dan membela nasib rakyat Palestin.
“Insya-Allah dengan mandat yang diberikan rakyat Malaysia, saya akan lakukan sedaya-upaya yang mampu untuk membantu dan membela nasib mereka.

Ribuan rakyat Malaysia yang hadir melaungkan “Bebas Palestin” dan “Free Palestin”.
“Insya-Allah kita akan lakukan sedaya upaya kita, akan suarakan pandangan kita tak kira depan siapa,” katanya di Himpunan Pembebasan Palestin, di dewan tertutup Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, dekat sini malam ini.
Beliau yang tiba pada pukul 9.20 malam disambut tetamu kenamaan termasuk Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Laungan “Bebas Palestin” dan “Free Palestin” turut bergema oleh ribuan rakyat Malaysia yang hadir bagi menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin.
Perhimpunan yang bermula seawal 6.00 petang itu dimulakan dengan Pidato Solidariti Palestin, solat maghrib berjemaah, sesi tayangan video khas dan doa Qunut Nazilah.
“Kita akan bantu, yang sakit sama ada dirawat di sana atau dibawa ke mari, kita akan teruskan tanpa tolak ansur. Kerajaan akan peruntukan dana,” katanya.

Antara ribuan rakyat Malaysia yang hadir.
Anwar turut berharap supaya rakyat Malaysia tidak berhenti bercakap dan membantu Palestin.
“Jangan berhenti berbicara setiap hari mengenai Palestin. Jangan berhenti bantu dan sedekah untuk meringankan (penderitaan) rakan kita di Palestin.
“Saya mahu Malaysia terletak dalam peta sejarah yang negara lebih konsisten dan sungguh-sungguh dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin,” katanya.
Himpunan Pembebasan Palestin diadakan bagi menyampaikan mesej Malaysia mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh dan menyokong Palestin.
Pada 31 Julai lalu, kira-kira pukul 2.00 pagi waktu Iran, Haniyeh dilaporkan terbunuh dalam serangan oleh Israel yang menyasarkan kediamannya di utara Tehran ketika beliau hadir untuk majlis pelantikan Presiden Iran yang baharu Masoud Pezeshkian.
-ZS-