Skip to main content
Berita TempatanSabah

Mary Backflip Johan E-sukan Karnival Kita MADANI Peringkat Negeri Sabah

By 12 Ogos 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sitti Jakiyah Abd Rahim/Mohd Rizal Matasan (Sabah)

MEMBAKUT, 12 Ogos (Malaysiaaktif) – Kumpulan Mary Backflip muncul johan dalam pertandingan e-sukan Mobile Legend Bang-Bang sempena Karnival Kita MADANI Peringkat Negeri Sabah 2024.

Kumpulan yang terdiri daripada enam orang anak muda ini berjaya mengalahkan tujuh kumpulan lain dalam pertandingan tersebut.

Awang Azmin (kanan) bersama Mohd Faris (kiri).

Menurut salah seorang ahli kumpulan Awang Azmin Bin Arifin, 19, beliau berasa gembira atas kejayaan yang mereka perolehi dalam pertandingan e-sukan ini.

“Kami hanya berlatih selama empat hari sahaja sebagai persiapan pertandingan kali ini dan bersyukur sekali lagi kami memenangi pertandingan e-sukan.

“Saya berharap pertandingan seperti ini akan diadakan dengan lebih kerap untuk menarik minat anak muda hadir memeriahkan program yang dianjurkan kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas penyampaian hadiah pada program tersebut, kelmarin.

Sekitar suasana semasa pertandingan berlangsung.

Seorang lagi ahli yang juga merupakan jurulatih kumpulan, Mohd Faris bin Badru, 25, turut meluahkan rasa bangga meskipun mereka hanya berlatih dalam masa yang singkat sebelum pertandingan namun ianya bukanlah penghalang untuk memenangi pertandingan ini.

“Semua ahli kumpulan mudah memberikan kerjasama dan bersedia untuk menerima sebarang teguran yang saya berikan,” ujarnya.

Menurut Penyelaras e-sukan daerah Membakut, Mohd Adzaimin bin Mohd Gazali, terdapat banyak penyertaan dalam pertandingan kali ini tetapi terpaksa ditolak kerana hanya lapan pasukan sahaja yang akan bertanding.

“Objektif utama penganjuran adalah untuk mengembangkan bakat muda dalam e-sukan, dengan harapan untuk melahirkan wakil daerah Membakut dalam Sukan Malaysia (SUKMA),” jelasnya.

Karnival Kita MADANI Peringkat Negeri Sabah berlangsung dari 8 hingga 10 Ogos 2024, di Perkarangan Dewan Terbuka Daerah Membakut dan dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N. 31 Membakut.

-ZS-

Tinggalkan komen anda