
Laporan/foto: Rosli Md Zin (Bachok)
BACHOK, 26 Ogos (Malaysiaaktif) – Seramai 200 orang pelajar dan guru Sekolah Kebangsaan Alor Bakat bersama Komuniti MADANI Alor Bakat, Bachok telah hadir memeriahkan Program JIWAKomuniti MADANI@Merdeka dengan penuh semangat cintakan negara.
Menurut Pengerusi Komuniti MADANI Alor Bakat, Ismail Abd. Majid program yang diadakan bersama para pelajar Sekolah Kebangsaan Alor Bakat ini mampu melahirkan generasi muda yang cintakan negara.
“Nikmat kemerdekaan dan kebebasan yang dikecapi negara perlu disyukuri dan dipupuk kepada generasi muda seawal di bangku sekolah lagi bagi menanam semangat patriotik dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Kelantan Muhd Nor Aswadi Md. Nor yang turut hadir, berkata ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ adalah lambang kesyukuran di atas keamanan dan kesejahteraan yang dikecapi negara sedangkan pada ketika ini saudara kita yang berada di bumi Palestin sedang berjuang dalam peperangan.
“Satu cara yang jelas dalam kita menikmati kemerdekaan adalah memberi bantuan kepada negara lain yang memerlukan seperti di Palestin dengan membawa mereka medapatkan rawatan perubatan di Malaysia dan kita boleh mengambil iktibar serta menghayati nilai kemerdekaan dengan mengibarkan jalur gemilang di rumah,” katanya kelmarin.
Pelbagai acara menarik diadakan seperti perarakan kemerdekaan, dikir barat, deklamasi sajak, penceritaan kemerdekaan dan sesi penyerahan satu rumah satu bendera.
-ZS-