
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Mohd Sazwan Roslan (Sabah)
KOTA KINABALU, 28 Ogos (Malaysiaaktif) – Persembahan muzik patriotik daripada Pasukan Pancaragam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengiringi ketibaan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) berjaya menghidupkan suasana dan menyuntik semangat cintakan negara kepada setiap masyarakat yang hadir.

Persembahan pancaragam TLDM Timur ketika program KMJG Daerah Kota Kinabalu.
Ketua Bahagian Pancaragam TLDM Timur Leftenan Mohd Iswan Mohd Isa, berkata penglibatan pasukan pancaragam dalam acara bersifat kenegaraan seperti ini adalah platform yang tepat untuk menyumbang kepada usaha meningkatkan semangat patriotik rakyat Malaysia.
“Biasanya kita mendengar lagu-lagu patriotik melalui radio dan televisyen, tetapi apabila dipersembahkan secara langsung, kesannya lebih kuat kerana penonton dapat merasai dan mendengar setiap rentak lagu dengan lebih jelas.
“Lagu-lagu patriotik meningkatkan semangat kebangsaan melalui melodi dan lirik yang menyentuh. Salah satu peranan utama pancaragam adalah untuk menyampaikan semangat patriotik ini dengan berkesan dalam setiap persembahan,” katanya ketika ditemui semasa Program KMJG Daerah Kota Kinabalu di Politeknik Kota Kinabalu (KK) pada Isnin.
Sementara itu, seorang pelajar Jabatan Hospitaliti, Politeknik KK, Nur Arifah Amalina Ag Mohd Ariffin, 19, berasa kagum dengan persembahan pancaragam TLDM yang berjaya menyuntik semangat kebangsaan melalui rentak muzik yang memukau.

Persembahan pancaragam TLDM Timur ketika program KMJG Daerah Kota Kinabalu.
“Ini adalah kali pertama saya menyaksikan pancaragam secara langsung, dan ia meninggalkan kesan yang mendalam selain menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam diri saya sebagai rakyat Malaysia.
“Harapan saya adalah agar pancaragam TLDM seperti ini terus menjadi inspirasi dalam menyemarakkan semangat patriotik dan memperkukuhkan rasa cinta kepada negara dalam kalangan generasi muda seperti kami,” ujarnya.
Untuk makluman, Konvoi KMJG telah mengembara sejauh 2,400 kilometer di seluruh daerah selama 20 hari dan telah berakhir pada 26 Ogos di Daerah Kota Kinabalu sebagai usaha untuk menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan, Hari Sabah dan Hari Malaysia dengan kibaran Jalur Gemilang serta bendera Negeri Sabah.
-ZS-