
Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)/PDT Hilir Perak
TELUK INTAN, 22 Ogos (Malaysiaaktif) – Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hilir Perak buat julung kalinya menganjurkan Program Kampung Patriotik Jiwa Merdeka bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

Mufidah berharap program ini mendapat sambutan baik daripada JPKK.
Penyertaan program dibuka kepada 54 buah Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) membabitkan kesemua lima mukim yang terdapat di daerah ini namun di peringkat akhir, hanya tiga buah kampung terpilih bagi setiap mukim akan disenarai pendek.
Pegawai Daerah Hilir Perak Mufidah Mahfodz, berkata program tersebut merupakan cetusan idea yang timbul untuk beliau mendekati penduduk kampung secara langsung melalui siri jelajah yang akan disertainya sepanjang tempoh program dilaksanakan.
“Program ini dirancang dengan harapan agar aktiviti penduduk ketika membersih, memperindah dan menghias kampung mereka dapat menyemai perasaan syukur dan bangga sebagai rakyat yang cintakan negara.

Kerja-kerja pemasangan bendera turut dibuat oleh penduduk pada sebelah malam. (Sumber: Penghulu Mukim Azizul Abd Aziz)
“Semangat patriotik dan kecintaan kepada negara ini amat penting agar semua masyarakat dapat menanam iltizam untuk terus bersama memajukan negara mengikut cara dan kemampuan masing-masing,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Aktif, di sini semalam.
Tambah Mufidah, beliau begitu teruja dan tidak sabar untuk melihat lambaian Jalur Gemilang yang akan menyerikan laluan dan jalan kampung di seluruh daerah Hilir Perak.
“Bagi saya, kreativiti dan pengindahan kampung yang akan diterjemahkan menerusi program ini umpama sorakan kemerdekaan yang dilaungkan oleh penduduk kampung,” katanya.
Proses penilaian kampung yang terpilih akan bermula dari 10 hingga 15 September ini dan dinilai berdasarkan beberapa aspek seperti idea, inovasi, kreativiti, penggunaan bahan terpakai, kebersihan dan keceriaan selain perlu menepati tema ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’.
-ZS-