
Laporan/foto: Muhamad Amsyar (Hilir Perak)
TELUK INTAN, 14 Ogos (Malaysiaaktif) – Lebih 600 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Aziz memeriahkan Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan 2024 dengan penuh semangat patriotik di Dewan Azizian, di sini kelmarin.

Persembahan silat oleh pelajar ketika gimik perasmian.
Majlis pelancaran tersebut menjadi pembuka tirai kepada pelbagai program lain yang disusun sepanjang bulan kemerdekaan bagi menyemai semangat patriotik dan cintakan negara serta memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar di sekolah tersebut.
Pegawai Penerangan Daerah Hilir Perak Nurlaila Abdul Azid, berkata pemilihan tema ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’ adalah bertujuan untuk mencerminkan penzahiran kebebasan rakyat Malaysia daripada sebarang elemen negatif dalam menginterpretasikan semangat patriotisme dan cintakan negara.

Nyanyian lagu patriotik sebagai penutup program.
“Sebagai warganegara, kita seharusnya berasa bertuah dan bersyukur dapat mengecapi kehidupan dalam suasana yang aman dan sejahtera di negara sendiri sedangkan pada ketika ini, ada saudara kita yang sedang berjuang dan melihat tanah air mereka hancur dan dirampas hak kebebasan dengan kejam.
“Justeru, dengan nikmat kemerdekaan yang kita miliki, bersyukurlah. Perpaduan ini perlu dibelai, dipupuk dan dipelihara dalam diri agar kemerdekaan Malaysia dapat dipertahankan sampai bila-bila,” ujarnya ketika merasmikan program.
Sementara itu, Pengetua SMK Sultan Abdul Aziz Haji Baharudin Mohd Ihar pula menegaskan kemerdekaan adalah sebuah anugerah yang besar dan tidak ternilai.
“Kemerdekaan mengajar warganya berdiri di atas kaki sendiri untuk terus tumbuh dewasa dan matang. Kerana itu, ia harus dijaga, dipupuk dan dipelihara sebaik-baiknya,” katanya.
-ZS-