
Laporan/foto: Nur Amirah Abd Rani/Noor Haswan Noor Azman
GUA MUSANG, 3 Ogos 2024 (Malaysiaaktif) – Proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri N.43 yang berlangsung di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang hari ini dilihat berlangsung dalam keadaan terkawal.

Pusat Penamaan Calon bertempat di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang
Anggaran seramai 1,000 penyokong dari kedua-dua parti dilihat hadir memberikan sokongan penuh kepada calon seawal jam 8 pagi.
Calon PAS yang tiba di pusat penamaan calon pada 8.45 pagi hadir dengan laungan takbir serta selawat.
Seramai 579 pegawai dan anggota polis dari seluruh kontinjen Kelantan telah digerakkan sepanjang berlangsungnya proses penamaan calon pagi ini.

Pegawai dan anggota polis yang bertugas mengawal keadaan di perkarangan luar Pusat Penamaan Calon di Dewan Perdana, Majlis Daerah Gua Musang
PRK DUN Nenggiri ini diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan oleh Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun yang lalu.
Menurut Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN N.43 Nik Raisnan Daud, antara calon-calon yang bakal bertanding adalah dari parti Barisan Nasional Mohd Azmawi Fikri Abd Ghani dan dari Parti PAS Mohd Rizwadi Ismail.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian pada 17 Ogos ini, manakala hari pengundian awal pada 13 Ogos yidak akan dilaksanakan berikutan kesemua 14 pengundi terlibat memilih mengundi secara pos.
Tempoh berkempen pula akan berlangsung selama 14 hari bermula 3 hingga 16 Ogos.
Menurut SPR lagi, kerusi DUN Nenggiri mempunyai 20,259 pemilih berdaftar melibatkan 20,245 pengundi dan 14 anggota polis yang membabitkan 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM).
-AA-