
Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin/Pejabat ADUN Bebar
PEKAN, 13 Ogos (Malaysiaaktif) – Penduduk Kampung Orang Asli (KOA) Permatang Siput teruja apabila terpilih antara tiga KOA dalam pertandingan Anugerah Aspirasi Desa MADANI 2024 mewakili negeri Pahang.

Sebahagian ketua-ketua jabatan yang hadir bersama dalam penilaian Anugerah Aspirasi Desa Madani.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan dan Keselamatan (JPKK) Midun Tan, pada awalnya rasa berat untuk menerima tanggungjawab sebagai calon namun setelah berbincang dengan anak buahnya, mereka menyahut cabaran untuk bertanding.
“Masuk bertanding ini bukan mudah, kami mengemas kampung dan menyediakan dokumentasi sejak sebulan yang lalu.
“Walaupun menghadapi pelbagai rintangan tetapi semangat anak buah yang berkobar-kobar menguatkan saya untuk memimpin dalam pertandingan ini,” ujarnya kepada Malaysia Aktif semalam.

Persembahan tarian sewang menyambut panel hakim.
Penyertaan Kampung Permatang Siput turut mendapat sokongan padu daripada Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar Datuk Mohd Fakharuddin Mohd Arif.
“Permatang Siput adalah sebahagian daripada entiti Komuniti MADANI Temai, maka disebabkan itulah saya sanggup turun dan berada bersama orang kampung semasa panel hakim menjalankan tugas penilaian,” ujarnya.
-ZS-