
Laporan/foto: Sarah Nur Saad/Khairul Nazrie Mat Nayan (Kinta)
IPOH, 24 Ogos (Malaysiaaktif) – Sekurang-kurangnya 500 penduduk menjayakan Program JIWA Merdeka@Komuniti MADANI Jelapang A bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan, di sini semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang Cheah Pou Hian, berkata program ini adalah usaha sama Pusat Khidmat DUN Jelapang, Pejabat Penerangan Daerah Kinta dan Komuniti MADANI Jelapang A.
“Saya ingin menyeru orang ramai khususnya penduduk setempat untuk menzahirkan rasa cintakan keamanan negara dan perpaduan kaum menerusi sambutan Bulan Kebangsaan.
“Saya mengharapkan setiap lapisan masyarakat tidak mengira kaum dan agama akan mendokong kelima-lima prinsip Rukun Negara terutama prinsip kedua iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Nurul Azirah Mohd Yunus, berkata program ini adalah bertepatan inisiatif Satu Rumah Satu Jalur Gemilang (1R1JG) yang menyeru rakyat untuk mengibarkan sekurang-kurangnya satu bendera di rumah.
“Komuniti MADANI Jelapang A umpama ikon jabatan untuk menyampaikan mesej kenegaraan sesuai dengan tema Bulan Kebangsaan, Malaysia MADANI Jiwa Merdeka,” katanya.
Dalam program berkenaan, Jalur Gemilang telah diedarkan kepada orang ramai di sekitar Pasar Awam Jelapang dan premis-premis perniagaan.
-ZS-