Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Penembak Negeri Sembilan Tunjukkan Aksi Cemerlang di Hari Ketiga SUKMA Sarawak 2024

By 20 Ogos 2024Oktober 21st, 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Genda Sating (Sarawak)/Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)

KUCHING, 20 Ogos (Malaysiaaktif) – Memasuki hari ketiga pertandingan sukan menembak di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 semalam menyaksikan penembak Negeri Sembilan beraksi cemerlang dalam empat kategori apabila berjaya membawa pulang dua pingat emas, satu pingat perak dan dua pingat gangsa.

Negeri Sembilan berjaya memperolehi pingat emas dan pingat perak menerusi penembak wanita Gan Chen Jie dan Aina Zahara Baharum dengan bidikan masing-masing mencatatkan 592 dan 585 mata menerusi acara 50 meter (m) Rifle Prone individu wanita.

Satu lagi pingat emas diperolehi menerusi acara 50 m Rifle Prone berpasukan wanita, yang dianggotai Gan Chen Jie, Aina Zahara Baharum dan Nuraisyah Suraya Muhammad dengan jumlah bidikan keseluruhan 1,750 mata.

Dua pingat gangsa Negeri Sembilan pula diperolehi menerusi acara 10 m Air Pistol individu dan berpasukan wanita.

Gan.

Penembak wanita Negeri Sembilan Gan Chen Jie ketika ditemui, berkata beliau berpuashati dengan pencapaiannya setakat ini dan berterima kasih kepada kerajaan dan Persatuan Menembak Negeri Sembilan atas sokongan dan dorongan dalam semua aspek kepada pasukan menembak Negeri Sembilan yang bertanding di SUKMA Sarawak kali ini.

Gan Chen Jie yang berjaya memecah rekod dalam acara 50 m Raifal tiga posisi individu wanita sebelum ini, nyata tidak menyangka kemenangan berganda dengan menyumbang dua pingat emas tersebut kepada Negeri Sembilan hari ini.

Pasukan menembak negeri Pahang pula dilihat nyata gembira apabila berjaya memperolehi dua pingat emas menerusi acara 10 meter Air Pistol individu wanita menerusi penembaknya Sayyeda Khadeeja Mohammad Anis Fadhli dengan bidikan 227.7 mata dan acara 10 meter Air Pistol berpasukan wanita yang dianggotai oleh Wan Nur Afiqah Wan Mohd Haneef, Sayyeda Khadeeja Mohammad Anis Fadhli dan Damia Hani Mohamad Sakran dengan bidikan 1,663 mata.

Sayyeda Khadeeja Mohammad Anis Fadhli ketika ditemu ramah memberitahu, walaupun beliau mengalami kecederaan tendon bahu sebelah kanan sejak Mac lalu namun beliau tekad meraih pingat emas untuk pasukannya kali ini.

“Sesekali sakit itu datang juga semasa dalam pertandingan, namun sokongan padu rakan-rakan menguatkan semangat dan saya tetap disiplinkan diri meneruskan latihan untuk SUKMA walaupun masih dalam proses pemulihan,” ujar anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini.

Menerusi SUKMA Sarawak 2024, Sayyeda Khadeeja, 19, berjaya meraih empat pingat emas, masing-masing dalam acara 25 meter pistol individu dan berpasukan wanita, 10 m Pistol individu dan berpasukan wanita. Ini merupakan penglibatan kali kedua beliau dalam temasya SUKMA.

Bagi pasukan lain, Sarawak walau bagaimanapun berjaya membawa pulang satu pingat perak dan satu pingat gangsa menerusi acara 10 m air pistol berpasukan wanita dan acara 50 m Rifle Prone individu wanita.

Wilayah Persekutuan dan Negeri Perak masing-masing berjaya membawa pulang satu pingat perak manakala satu lagi pingat gangsa berjaya diperolehi pasukan negeri Pulau Pinang.

Majlis penyampaian hadiah bagi empat kategori sukan menembak pada hari ketiga telah berlangsung di Lapang Sasar Menembak Petra Jaya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda