
Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)
TELUK INTAN, 7 Ogos (Malaysiaaktif) – Sikap masyarakat yang mengabaikan aspek kebersihan di kawasan kediaman menjadi punca penularan wabak penyakit khususnya demam denggi.

Nazmil Nasiruddin memberi penerangan kepada peserta yang hadir.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran, Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Mohd Amir Md Khalid, berkata demikian ketika memberi taklimat dalam Program Pemeriksaan Kesihatan, Kesedaran Mengenai Denggi dan Kebersihan Persekitaran di Dewan Serbaguna Taman Padang Tembak Teluk Intan, di sini semalam.
Menurutnya, sebagai masyarakat kita bukan sahaja harus menjaga kebersihan kawasan kediaman sendiri malah perlu peka dengan tahap kebersihan di kawasan kejiranan.
“Peruntukanlah masa sekurang-kurangnya 10 minit setiap hari untuk memeriksa atau membersihkan kawasan kediaman dan buang sampah di tempat yang sepatutnya,” katanya.

Azlin (dua dari kiri) merakam gambar kenangan di reruai pameran.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah Hilir Perak Nazmil Nasiruddin, berkata apabila sesuatu kawasan dilanda wabak denggi maka kawasan berdekatan turut berisiko dijangkiti wabak berkenaan.
“Jadi, pastikan rumah sentiasa bersih dan luangkanlah masa walau hanya sebentar untuk membersihkan kawasan rumah sama ada di dalam atau di luar rumah.
“Tanggungjawab memerangi denggi bukan tanggungjawab Kementerian Kesihatan Malaysia sahaja tapi seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.
Majlis dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Kasih Malaysia Datin Seri Azlin Haji Hezri.
-ZS-