
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud (Sabah)
PUTATAN, 25 Ogos (Malaysiaaktif) – Semangat cinta negara bukan sekadar ungkapan bagi perajurit Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedia mengorbankan jiwa dan raga demi menjaga kedaulatan dan keselamatan negara.

Ahmed (dua dari kiri) bersama rakan sejawat ketika berkhidmat dengan ATM.
Menurut seorang pesara ATM, 74, pengalaman ketika bertugas yang menyebabkan kecacatan kekal pada kaki kirinya tidak pernah mengurangkan kecintaannya terhadap negara dan mengimbas kembali peristiwa tersebut, beliau mengenang dengan jelas detik yang merubah hidupnya.
“Saya masih ingat kejadian itu semasa kami melaksanakan operasi di sempadan Malaysia-Thailand menentang komunis. Nasib saya kurang baik apabila terpijak jerangkap samar.
“Kecederaan yang saya alami bukan sekadar fizikal tetapi turut meninggalkan kesan mendalam pada mental.
“Namun, saya sentiasa bersyukur dan menjadikan peristiwa ini sebagai titik permulaan untuk sentiasa menghargai kehidupan,” katanya dalam satu rakaman temu bual untuk program Influencer Jabatan Penerangan Negeri Sabah (JaPen) di rumahnya, di sini pada Jumaat.

Ahmed menunjukkan kaki palsu yang digunakan selepas kecederaan kaki kiri terpijak jerangkap samar ketika menjalankan operasi.
Meskipun diuji dengan kecacatan, beliau bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk meneruskan kehidupan dan menamatkan perkhidmatan setelah 24 tahun berkhidmat.
Dalam pada itu, pengalaman daripada peristiwa itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus menyumbang kepada negara dan menyatakan kesediaan untuk mencurahkan bakti sekiranya diperlukan, meskipun bukan di medan tempur.
“Saya sedia berkhidmat bila-bila masa, mungkin bukan untuk bertempur, tetapi dengan pengalaman yang ada dalam perhubungan radio, saya harap dapat membantu menjaga kedaulatan negara,” ujarnya.
Beliau turut menitipkan pesanan yang penuh makna kepada generasi muda, mengingatkan mereka tentang tanggungjawab untuk mempertahankan tanah air.
“Kita hendaklah bersedia berjuang mempertahankan negara daripada ancaman musuh dan tidak membenarkan anasir jahat memasuki negara ini,” katanya.

Ahmed menerima cendera kenangan daripada Nuzuluddin disaksikan Pegawai Penerangan Bahagian Media Siber, Sunday Grace Justimus.
-ZS-