
Laporan/foto: Rahman Ishak/Bernama
PUTRAJAYA, 16 Ogos (Malaysiaaktif) – Penjawat awam yang malas dan culas ketika melaksanakan tugas tidak dijamin akan diberikan kenaikan gaji.

Perdana Menteri ketika sesi bergambar bersama penjawat awam yang hadir.
“Ganjaran akan hanya diberikan kepada mereka yang tunjuk kesetiaan dan memberikan perkhidmatan yang baik.
“Yang mengetepikan tugas, cuai dan malas, saya nak beritahu mereka ini, tidak akan diberi layanan dan ganjaran setimpal. Kalau lembab, malas dan cuai, walau sudah kerja 20 tahun, peningkatan pendapatan tidak akan dijamin,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau, berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 bertemakan ‘Perkhidmatan Awam MADANI’ di hadapan lebih 3,000 penjawat awam yang memenuhi Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini pagi tadi.

Lebih 3,000 penjawat awam hadir di Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 di Putrajaya pagi tadi
Perdana Menteri turut mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan memberi manfaat kepada penjawat awam yang cemerlang dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.
Katanya, kadar pelarasan gaji yang ditingkatkan melalui SSPA itu dilaksanakan mengambil kira berlaku peningkatan 21.3 peratus terhadap Indeks Harga Pengguna (IHP) dalam tempoh 10 tahun lepas, terutamanya harga makanan dan minuman yang merupakan keperluan asas, yang turut naik pada kadar 24.8 peratus.
“Kita rasa gaji penjawat awam selama ini sejak 12 tahun hanya naik 5.8 peratus ketimbang inflasi 24 peratus, maka sebab itulah bagi penjawat awam amat menekan terutama Gred 26 dan ke bawah yang mempunyai nilai gaji pokok yang rendah.
“Kali terakhir pelarasan gaji pada 2012, pelarasan gaji yang akan dilaksanakan nanti pada umumnya adalah jauh lebih baik daripada apa yang pernah dilaksanakan, jadi kerajaan komited untuk memastikan pembelaan penjawat awam,” katanya.
Menurut Anwar, pelaksanaan pemberian pelarasan gaji ini akan dilaksanakan secara berfasa iaitu Fasa Pertama pada 1 Dis 2024 dan Fasa Kedua pada 1 Januari 2026.
-RI