
Laporan/foto: Zaidy Salim (Putrajaya)/Bernama
PUTRAJAYA, 13 Ogos (Malaysiaaktif) – Program anjuran Jabatan Penerangan (JaPen), PENTARAMA X Kelab Malaysiaku berupaya menjadi platform untuk pelajar sekolah menunjukkan semangat patriotisme menerusi pelbagai aktiviti, sekali gus menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kalangan generasi muda.

Dari kiri Ketua Pengarah Jabatan Penerangan
Julina Johan, Mohamad Fauzi dan Pengetua SMK Putrajaya Presint 5(1) Noorazzima Mohamad Nor.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, semangat patriotik atau rasa kecintaan yang mendalam kepada negara perlu disemai dan dipupuk dari peringkat sekolah agar sebati dalam diri individu.
“Kita kena teruskan sebab semangat cintakan negara ini, sebenarnya mereka bangga dengan Jalur Gemilang walau ke mana mereka pergi sekali pun.

Pelajar dan guru SMK Putrajaya Presint 5 (1) mengibarkan Jalur Gemilang
“Mungkin mewakili negara untuk sukan, sambung pengajian ke luar negara atau bekerja di luar negara,” katanya selepas menghadiri program PENTARAMA X Kelab Malaysiaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 5 (1) sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2024, pagi tadi.
Katanya, program yang diadakan di 38 sekolah di lima negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak yang berteraskan kenegaraan itu perlu diteruskan bagi membina jati diri generasi pelapis.
“Program berkenaan merupakan satu daripada program di bawah inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) yang dilancarkan tahun ini, meliputi lima kluster iaitu pendidikan, pendidikan tinggi, komuniti, keselamatan dan kesihatan,” katanya.
Antara pengisian program yang berlangsung sehingga 16 September ini ialah sembang santai, nyanyian lagu patriotik dan kuiz kenegaraan.
-ZS-