
Laporan/ foto: Norlia Mili (Sarawak)
KUCHING 11 Ogos (Malaysiaaktif) – Penyertaan hampir 3000 sukarelawan adalah penting untuk menggerakkan temasya sukan besar seperti Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan mempertandingkan sebanyak 37 jenis sukan dan 488 acara.

Dato Gerald Rentap (kiri) menyampaikan kata-kata semangat kepada para sukarelawan yang hadir
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak yang juga merupakan Chef De Mission SUKMA XXI, Dato Gerald Rentap Jabu, ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Sukarelawan Am ‘Here We Go’ SUKMA XX1 Sarawak 2024 di sini semalam, berkata hampir 3,000 belia yang dipilih sebagai sukarelawan Sukan Malaysia (SUKMA XXI) 2024 diberi latihan menyeluruh termasuk kemahiran memberi bantuan kecemasan sepanjang acara berlangsung.
“Ia sebagai persediaan untuk mereka memberi sokongan kepada pegawai kesihatan dengan lebih berkesan.
“Mereka juga diberi latihan kemahiran hidup bagi menyesuaikan diri dengan cabaran utama sebagai sukarelawan yang menguruskan acara luar dalam keadaan cuaca tidak menentu,” tambahnya.

Lily Noorani sukarelawan SUKMA 2024
Sementara itu, salah seorang sukarelawan yang merupakan surirumah tangga Lily Noorani, 54, berasa gembira dan teruja apabila dipilih sebagai sukarelawan buat kali keduanya.
“Ini adalah kali kedua saya berkhidmat sebagai sukarelawan selepas SUKMA III Sarawak 1990,” katanya.
Menurut Lily, dengan menyertai pasukan sukarelawan seperti ini, dia dapat menambah kenalan baru.
“Saya akan memberi khidmat saya yang terbaik dalam memastikan tugasan yang diberikan dapat dilakukan dengan baik dan lancar,” ujarnya.
Lebih 12,000 permohonan untuk menjadi sukarelawan diterima, namun selepas tapisan dibuat hanya kira-kira 3,000 yang dipilih dan ia mencukupi untuk ditugaskan di semua 49 venue di seluruh Sarawak kerana ramai kakitangan kerajaan akan turut sama bertugas di sebalik tabir.
-AA-