
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/PSA
SHAH ALAM, 4 Ogos (Malaysiaaktif) – Persembahan sekumpulan pelajar orang kelainan upaya (OKU) Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), di sini menyampaikan lagu ‘Pulang’ dendangan kumpulan Insomniacks menggunakan bahasa isyarat mengundang sebak lebih 1,000 penonton.
Suasana dewan turut gamat dengan nyanyian penonton sambil diiringi lambaian lampu pada telefon bimbit masing-masing bagi memberi sokongan terhadap pelajar-pelajar berkenaan.

Kelihatan hadirin menyalakan lampu telefon bimbit sebagai sokongan sambil turut menyanyi bersama pelajar OKU.
Exco Jawatankuasa Kebudayaan dan Warisan Majlis Perwakilan Pelajar PSA Felicia Goh Sui Ching, berkata beliau rasa teruja dan bangga melihat persembahan pelajar tersebut.
“Tanpa disedari saya menangis sepanjang persembahan mereka.
“Saya tak jangka akan ada persembahan daripada pelajar OKU,” katanya ketika ditemui kelmarin.
Menurutnya, terdapat fasilitator yang boleh berkomunikasi dalam bahasa isyarat dan para pelajar tersebut juga memberi kerjasama yang sangat baik dan sentiasa tersenyum.

Pengurusan PSA bergambar bersama 1,057 pelajar baharu yang mendaftar diri di politeknik tersebut.
Seorang pelajar OKU, Sha Daniel Airiel Norafendi, 20, berkata beliau gembira terpilih menyambung pengajian dalam program Sijil Khas Penyenggaraan Mekanikal (KMK) di PSA.
“Saya ingin mendapat kemahiran dalam bidang mekanikal kerana peluang pekerjaan yang luas di samping yurannya yang rendah,” ujarnya.
Sementara itu Pengarah PSA Zainah Rujihan, berkata PSA sentiasa berusaha untuk memberi akses pendidikan berkualiti di samping keutamaan terhadap kebajikan pelajar khususnya mereka yang memerlukan bantuan khas.
“Seramai 1,057 pelajar baharu mendaftar pada sesi kali ini dengan 11 daripadanya mengikuti program KMK,” jelasnya.
KMK ditawarkan kepada pelajar tamat Tingkatan Lima yang mempunyai masalah pendengaran dengan tujuan melahirkan pelajar berpengetahuan dalam pelbagai bidang penyenggaraan mekanikal untuk keperluan pasaran kerja di industri.
-ZS-