Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Persidangan MPBN Himpun Pemimpin Belia Daerah Barat Daya

By 16 Ogos 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Marshita Othman (Barat Daya)

BAYAN BARU, 16 Ogos (Malaysiaaktif) – Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Daerah Barat Daya 2024 di Dewan Pulau Mutiara, Hotel Seri Malaysia Bayan Baru, di sini semalam telah berjaya menghimpunkan pemimpin belia daerah ini untuk membincangkan pelbagai isu penting yang menyentuh masa depan generasi muda.

Sebanyak lima usul berkaitan pembangunan belia telah dibahaskan oleh para perwakilan Pertubuhan Belia Daerah Barat Daya bersama agensi kerajaan.

Antara usul yang hangat dibincangkan adalah Dasar Peluang Kedua, rokok elektronik, ketidakhadiran calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, peluang kerjaya dan hala tuju bekas atlet negeri Pulau Pinang serta fasiliti kemudahan eko pelancongan di daerah Barat Daya.

Sesi perbincangan lima usul yang dibahaskan oleh perwakilan pertubuhan belia Daerah Barat Daya.

Menurut Pegawai Daerah Barat Daya merangkap Pengerusi MPBN Daerah Barat Daya Mohd Hafiz Aswad  Nadzri, isu-isu yang dibangkitkan ini perlu diberi perhatian serius demi memastikan masa depan negara dan kesejahteraan masyarakat.

“Dengan adanya usul-usul ini, agensi kerajaan dapat berganding bahu dengan belia dalam menyelesaikan isu-isu yang timbul,” ujarnya.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas Datuk Azrul Mahathir Aziz, Penyelaras Kawasan ADUN Telok Bahang Ahmad Zaki Shah Shah Headan, Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang yang mewakili Ahli Parlimen Balik Pulau Roshidi Roslan, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Barat Daya Muhammad Daniel Haris Nasation dan Presiden Majlis Belia Daerah Barat Daya Shukri Suhaidi.

-ZS-

Tinggalkan komen anda