Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Pertahan Kemerdekaan Untuk Generasi Akan Datang

By 17 Ogos 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: AgKu Marzuki Bin Ag Latip (Sabah)

KALABAKAN, 17 Ogos (Malaysiaaktif) – Usaha mengekalkan kemerdekaan negara perlu digalas oleh semua lapisan masyarakat termasuk golongan pemimpin walaupun berbeza latar belakang dan fahaman politik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik Datuk Hassan A.Ghani Pg.Amir, berkata rakyat Malaysia perlu memastikan kemerdekaan negara dapat dipertahankan untuk generasi akan datang.

Hassan ketika merasmikan Program Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Daerah Kalabakan

“Kita sedia maklum, tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) pada tahun ini ialah “Malaysia Madani, Jiwa Merdeka. Tema ini sangat sesuai dengan semangat yang ingin disemarakkan dalam kalangan rakyat Malaysia yang mana melambangkan semangat kebebasan dan jati diri yang diperjuangkan oleh para pejuang kemerdekaan dan harus diwarisi dalam segenap aspek kehidupan.

“Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi simbol perpaduan, kebanggaan dan kesyukuran kita sebagai rakyat Malaysia.

“Ia mengingatkan kita akan pengorbanan dan usaha gigih para pahlawan negara yang telah berjuang demi kebebasan dan kemakmuran yang kita nikmati hari ini,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian KMJG daerah Kalabakan 2024 di Masjid Al-Muqarrabah, di sini, kelmarin.

Suasana bacaan yasin dan tazkirah di Masjid Al- Muqarrabah, Kalabakan

Hassan merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Komunikasi melalui Jabatan Penerangan Malaysia Sabah dengan kerjasama rakan strategik kerana memilih Masjid Al-Muqarrabah sebagai lokasi bagi pelaksanaan program KMJG pada kali ini.

Konvoi yang disertai pelbagai agensi dan jabatan kerajaan berada di Kalabakan selama dua hari bermula petang Khamis sebelum bertolak ke Tawau pada Jumaat.

Sementara itu, Pengarah Penerangan Sabah Jainisah Mohd Noor berkata KMJG bertujuan untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan dan meningkatkan rasa cinta kepada negara dalam kalangan rakyat.

“Kami mengajak orang ramai untuk memasang bendera di rumah dan mencadangkan satu bendera bagi setiap rumah serta berharap program seperti ini dapat meningkatkan nilai-nilai nasionalisme dalam kalangan rakyat di Sabah,” jelasnya.

Program ini juga melibatkan acara kenduri sekampung, bacaan yasin dan tazkirah bersama rombongan konvoi serta penduduk setempat.

Turut hadir Penolong Pegawai Daerah mewakili Pegawai Daerah Kalabakan (Pembangunan) Saridun Mohd Jinin, Penolong Pegawai Daerah Kalabakan (Pentadbiran), Sharifah Norzian Sh Sihan, Ketua Balai Polis Daerah Kalabakan, Marjumin Rasan, Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.73 Sebatik, Raden Sirap, Pegawai Kemajuan Masyarakat N.73 Sebatik, Abd Mansah Abd Samad, Pengerusi Masjid Al Muqarrabah Kg Kalabakan, Abu bakar Mamut dan Ketua Daerah, Orang Kaya Kaya (OKK) Saleh Tahir.

-AA-

Tinggalkan komen anda