Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

PKD Hilir Perak Giat Usaha Kekang Penularan Wabak Denggi

By 8 Ogos 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)/PKD Hilir Perak

TELUK INTAN, 8 Ogos (Malaysiaaktif) – Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hilir Perak sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif dan usaha untuk mengekang wabak denggi daripada terus menular di beberapa lokaliti yang dijangkiti.

Pegawai Perubatan Epidemiologi Dr. Mohamad Firdaus, berkata situasi wabak denggi di beberapa lokaliti di Langkap masih aktif dengan pertambahan satu lagi kes baharu di kawasan Pasar Awam berdekatan Rancangan Perumahan Awam 2 Langkap.

Kebun haram yang dibina di taman permainan di Taman Langkap Jaya dimusnahkan kerana menjadi lokasi pembiakan nyamuk Aedes.

“Penduduk dan peniaga pasar disaran untuk melakukan pembersihan segera dengan menghapuskan semua bekas yang boleh menakung air.

“Orang ramai di kawasan wabak juga dinasihatkan untuk memakai pakaian berlengan panjang, menggunakan semburan aerosol untuk membunuh nyamuk dan elakkan diri daripada berada di luar rumah sewaktu nyamuk aktif menggigit,” katanya ketika dihubungi Malaysia Aktif, di sini kelmarin.

Menurutnya, waktu nyamuk aktif menggigit ialah dari pukul 6.00 hingga 8.00 pagi dan dari pukul 6.00 petang hingga 8.00 malam.

Wakil dari beberapa jabatan dan agensi bergambar sebelum gotong-royong di Pasar Awam Langkap bermula.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Kesihatan Nazmil Nasiruddin, berkata dua aktiviti gotong-royong telah dilaksanakan dengan kerjasama jabatan dan agensi di daerah ekoran peningkatan kes yang dilaporkan.

“Aktiviti gotong-royong pada Sabtu lalu membabitkan lokaliti kes denggi pertama dikesan iaitu di Taman Langkap Jaya dan aktiviti gotong-royong kedua dilaksanakan petang semalam (Selasa) di kawasan sekitar Pasar Awam Langkap.

“Selain itu, PKD Hilir Perak juga menganjurkan program dan kempen kesedaran denggi serta membuat hebahan kepada penduduk sekitar menerusi pelbagai platform,” ujarnya.

Tambah Nazmil, orang ramai perlu menjaga keselamatan komuniti dengan sentiasa menjaga rumah supaya bebas daripada tempat pembiakan nyamuk selaras dengan aspirasi Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).

-ZS-

Tinggalkan komen anda