Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanLabuan

PKKKL Santuni Pelajar RKK dan STB

By 26 Ogos 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/PKKKL

LABUAN, 26 Ogos (Malaysiaaktif) – Pasukan Kebajikan Kanak-kanak Labuan (PKKKL) bersama Jabatan Kebajikan masyarakat (JKM) Labuan menyantuni para pelajar Rumah Kanak Kanak (RKK) dan Sekolah Tunas Bakti (STB) di Kota Kinabalu, Sabtu lalu.

Sesi advokasi secara berkumpulan bersama ahli PKKKL untuk menyelami perasaan para penghuni RKK.

Menurut Pengerusi PKKKL, Abd Gani Keruput lawatan itu adalah sebahagian dari program advokasi dan sesi motivasi kepada golongan sasar PKKKL iaitu kanak-kanak serta pelajar di kedua-dua institusi itu.

“Lawatan ini selari dengan fungsi PKKKL untuk mendekati, menyantuni dan meraikan kanak-kanak di RKK dan STB khasnya yang berasal dari Labuan untuk mewujudkan hubungan positif di antara PKKKL dan kanak-kanak tersebut.

“Program itu juga bertujuan memberi sokongan moral kepada kanak-kanak di RKK dan STB bagi menzahirkan keprihatinan dan komitmen pihak PKKKL kepada kanak-kanak yang datang dari pelbagai latar belakang serta sejarah kehidupan yang mencabar,” katanya semasa ditemui media semalam.

Para ahli PKKKL dan Pegawai JKM Labuan bergambar kenangan bersama pegawai RKK Kota Kinabalu.

Hasil dari lawatan itu juga katanya berjaya meningkatkan tahap motivasi bagi kanak-kanak di bawah seliaan PKKKL.

“Lawatan kami ini telah memberikan kelegaan dari segi emosi dan psikologi kepada kanak-kanak sekaligus meningkatkan kesedaran kewujudan serta fungsi PKKKL kepada kanak-kanak di bawah seliaan JKM dan memerlukan perhatian khusus masyarakat,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada RKK dan STB Kota Kinabalu kerana sudi menerima lawatan PKKKL sekali gus menyatakan komitmen bersama untuk terus membantu para pelajar dari kedua-dua institusi itu untuk bangkit serta meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

-ZS-

Tinggalkan komen anda