
Laporan/foto: Parimala Devi Suppiah/Hafiezuddin
JELEBU, 7 Ogos (Malaysiaaktif) – Kolej Komuniti Jelebu dengan kerjasama Pusat Penyelidikan dan Inovasi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah berjaya menganjurkan Pertandingan POLYCC Komersial Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 atau singkatannya POLYCCOM24 pada hari ini.

Antara produk inovasi Kolej Komuniti Sungai Petani.
Sembilan kategori yang telah dipertandingkan dalam acara ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada politeknik dan kolej komuniti seluruh negara.
“Berdasarkan kepada Pelan Strategik Pengkomersialan Politeknik dan Kolej Komuniti 2021-2028, kita kini berada di fasa kedua iaitu Fasa Pembudayaan Pengkomersialan yang telah bermula dari tahun 2023 dan akan berakhir pada tahun ini.
“Selanjutnya kita akan beralih ke Fasa Peningkatan pada tahun 2025 hingga tahun 2026 dan bergerak menuju ke fasa terakhir iaitu Fasa Pemerkasaan dan kecemerlangan pada tahun 2027 hingga tahun 2028,” kata Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), JPPKK Ts. Hj. Muhamad Rumzi Mamat dalam majlis perasmian penutup pertandingan tersebut.

Peserta POLYCC 2024.
Tambah beliau lagi, JPPKK sentiasa berusaha dan komited untuk memperkasakan penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan melalui permohonan peruntukan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
“Hasilnya dapat dilihat apabila JPPKK telah menerima peruntukan sebanyak RM10 juta untuk aktiviti penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan tahun 2024-2025 dan RM3.8 juta khusus untuk program pengkomersialan,” katanya.
-ZS-