Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Program Jualan Rahmah dapat Sambutan Memberangsangkan

By 4 Ogos 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norlia Mili (Sarawak)

KUCHING 4 Ogos (Malaysiaaktif) – Program Jualan Rahmah (PJR) bergerak sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen CIDB, di sini semalam mendapat sambutan yang amat memberangsangkan.

Program Jualan Rahmah yang diadakan mendapat sambutan yang sangat baik daripada pengunjung.

Menurut Pengurus Kanan Dagangan dan Pembelian Lian Hua Seng Retail Sdn. Bhd, Happy Farm Fresh Mart Ashley Lim, 44, syarikat peruncit yang diberi tanggungjawab menjual barangan pada PJR kali ini, sejak awal pagi lagi, orang ramai sudah mula beratur untuk mendapatkan barangan keperluan harian pada harga mampu beli.

“Sambutan daripada orang ramai memang amat baik dan dalam masa 30 minit pertama selepas jualan dibuka pada pukul 9.30 pagi, ramai yang datang dan sanggup beratur panjang untuk mendapatkan barangan keperluan seperti telur, beras, minyak masak, gula serta makanan dalam tin,” katanya.

Ashley Lim menunjukkan telur gred B yang mendapat sambutan paling hangat dalam kalangan pembeli.

Menurutnya lagi, syarikatnya bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan PJR bergerak di kawasan bandar dan kampung sejak Oktober 2023.

“Dalam tempoh itu, secara purata kami terbabit dalam jualan ini antara dua hingga tiga kali sebulan di lokasi yang ditetapkan oleh KPDN dan kami gembira kerana dapat menyumbang kepada usaha membantu meringankan beban rakyat,” katanya.

Salah seorang pengunjung Fauziah Ibrahim, 68, ketika ditemui, berkata dia sangat berpuas hati dengan harga barangan yang ditawarkan kerana banyak barang keperluan dijual pada harga yang jauh lebih murah berbanding pasar raya biasa.

“Saya berharap Program Jualan Rahmah akan dapat diteruskan pada masa-masa akan datang untuk membantu rakyat yang kurang berkemampuan bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda