Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Program Komuniti MADANI Bangkitkan Semangat Patriotisme

By 26 Ogos 2024September 29th, 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hanizatul Azwa (Hilir Perak)

TELUK INTAN, 26 Ogos (Malaysiaaktif) – Program Jiwa Komuniti MADANI@Merdeka Pasir Bedamar yang diadakan di Pasaraya Lotus’s di sini kelmarin bersempena sambutan bulan kebangsaan pada tahun ini mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.

Guru-guru Tadika Perpaduan Daerah Hilir Perak.

Objektif program ini dilaksanakan sudah pastinya untuk menyemai dan membangkitkan semangat patriotisme di kalangan peserta dan pengunjung yang hadir.

Penghulu Mukim Durian Sebatang Abdul Aziz Zainuddin, berkata pemilihan tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 sangat bertetapan kerana masyarakat pada masa kini seharusnya mempunyai rasa syukur dan bertuah dapat mengecapi suasana negara yang aman, harmoni dan makmur.

“Bagi menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan, marilah kita sama-sama mengambil inisiatif untuk menaikkan Jalur Gemilang di kawasan perumahan, sekolah, bangunan kerajaan dan premis perniagaan,” ujarnya ketika merasmikan program.

Abdul Aziz bersama johan pertandingan mewarna.

Sementara itu, Azizah Samad, 60, salah seorang pengunjung yang hadir berkongsi perasaan gembira dan bersemangat dapat menyertai program tersebut.

“Saya tidak pernah melepaskan peluang untuk menyertai aktiviti kemerdekaan yang dianjurkan oleh jabatan kerajaan.

“Saya berharap lebih ramai anak muda dapat terlibat dengan program berbentuk kemerdekaan begini bagi memupuk perasaan sayangkan negara di samping menaikkan semangat patriotik yang tinggi,” katanya.

Antara pengisian program adalah Jualan Rahmah MADANI, pertandingan mewarna kanak-kanak, ujian saringan kesihatan percuma dan ceramah berkenaan kemerdekaan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda