
Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)
HUTAN MELINTANG, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Ratusan kanak-kanak berhimpun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk, di sini semalam sempena Perarakan Sambutan Kemerdekaan ke-67 Jiwa Merdeka (PSK67JM).

Mohammad Ali (tengah) gembira IPD Bagan Datuk jadi persinggahan peserta perarakan.
Ketua Polis Daerah Superintenden Mohammad Ali Mohd Jali, berkata ini kali pertama beliau menyaksikan IPD Bagan Datuk meriah dengan kehadiran ramai kanak-kanak sepanjang bertugas di sini.
“Jadi bagi pihak IPD Bagan Datuk, saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang kerana telah memilih IPD Bagan Datuk sebagai lokasi persinggahan.
“Saya berharap kanak-kanak ini akan menghargai nikmat kemerdekaan dan mensyukurinya dengan belajar bersungguh-sungguh,” ujarnya.

Perarakan sejauh 600 meter.
Sementara itu, ADUN Hutan Melintang Wasanthee Sinnasamy, berkata program PSK67JM merupakan kerjasama antara Pusat Khidmat ADUN Hutan Melintang, Persatuan Guru-Guru Tadika Swasta dan Jabatan di daerah Bagan Datuk.
“Perarakan sejauh 600 meter ini bermula dari Dewan Sanmarka menuju ke IPD Bagan Datuk sebelum berpatah balik ke lokasi permulaan.
“Saya harap melalui program ini, rakyat akan menjiwai semangat Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka demi keharmonian hidup bermasyarakat seterusnya menaikkan semangat untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan,” katanya dalam ucapan perasmian.
-ZS-