
Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin/Kesultanan Pahang
PEKAN, 11 Ogos (Malaysiaaktif) – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat bercemar duli merasmikan Sambutan Hari Orang Asli Sedunia Peringkat Negeri Pahang di Sekolah Kebangsaan Permatang Keledang, di sini, hari ini.

Antara orang-orang Asli yang datang sejak awal pagi lagi untuk bersama dalam sambutan Hari Orang Asli Sedunia
Di majlis tersebut Baginda bertitah, “Saya masih ingat ketika kecil, Almarhum ayahanda selalu bawa saya ke perkampungan Orang Asli Kuala di Johor, di situ saya belajar banyak benda termasuk makan siput gonggong, buah setu, dah lebih 40 tahun saya tak makan buah setu, tak jumpa dah.
“Almarhum ayahanda memang rapat juga dengan Orang Kita, mereka juga ada datang ke istana (Johor), kalau nak kahwin, dapat anak, sakit semua mengadu dekat ayahanda saya,” titah Baginda.

Tengku Ampuan Pahang menyediakan dua menu Orang Asli pada Sambutan Hari Orang Asli Sedunia peringkat Negeri Pahang di SK Permatang Keledang Pekan, Pahang
Baginda Tuanku juga berkenan menyampaikan kurniaan sumbangan bakul makanan kepada sepuluh orang wakil Ketua Isi Rumah (KIR) Orang Asli di daerah Pekan dan melawat reruai pameran termasuk menonton persembahan robotik oleh pelajar SK Permatang Keledang.
Lebih istimewa, Baginda turut berkenan memasak dua jenis menu yang juga makanan tradisi Orang Asli iaitu ikan seluang kering goreng dan daging salai masak randau.
Baginda kemudian berkenan menanam Pokok Merbau sebagai tanda kenangan di perkarangan sekolah berkenaan sebelum bersantap dan berangkat pulang.
-AA-