
Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)
HUTAN MELINTANG, 22 Ogos (Malaysiaaktif) – Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Negeri Perak telah melancarkan Program Skuad Waja (PSW) di Dewan Sanmarka, di sini kelmarin demi memastikan nasib golongan wanita terbela daripada sebarang bentuk keganasan.

Wasanthee menyampaikan cenderahati kepada penceramah.
Pengarahnya, Kavaramma Subramaniyam, berkata PSW merupakan inisiatif JPW di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kesan jenayah terhadap wanita kepada masyarakat dan negara.
“Melalui program ini, ahli PSW akan dilengkapi dengan latihan menggunakan Modul Skuad Waja yang dibangunkan oleh JPW merangkumi slot kemahiran E.A.R.S (Empati, Atensi, Respon, Sokongan) dan Slot Waja.
“Di samping itu, program ini dilaksanakan untuk memberi pengetahuan kepada wanita tentang haknya dari segi perundangan, saluran aduan dan bantuan yang disediakan jika menghadapi keganasan, diskriminasi dan ketidakadilan,” katanya.

Wasanthee (tengah) merakamkan kenangan bersama sebahagian tetamu yang hadir.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang Wasanthee Sinnasamy berasa gembira dengan sambutan masyarakat di Bagan Datuk terhadap program tersebut.
“Harapan saya agar golongan wanita akan sedar tentang haknya serta akan menjadi lebih bijak dan bersikap rasional dalam melindungi diri sendiri,” ujarnya dalam ucapan perasmian penutup.
-ZS-