
Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)
TELUK INTAN, 26 Ogos (Malaysiaaktif) – Sukaneka Tabika Perpaduan dan Rukun Tetangga Daerah Hilir Perak, di sini semalam menonjolkan keunikan tersendiri apabila setiap rumah sukan membawa bendera mewakili 13 negeri dan satu Wilayah Persekutuan yang terdapat di negara ini.

Bendera 13 negeri dan satu Wilayah Persekutuan menjadi identiti 14 rumah sukan yang bertanding.
Menariknya, program yang berlangsung di Stadium Mini Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kandi itu menyaksikan perarakan lintas hormat oleh murid dari 14 Tabika Perpaduan Daerah turut disertai dengan pelbagai aksi menghiburkan.
Pegawai Perpaduan Daerah Muhammad Syahmi Sazali dalam ucapannya, berkata program tersebut merupakan anjuran Pejabat Perpaduan Daerah Hilir Perak dengan kerjasama barisan guru dan murid Tabika Perpaduan serta Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di daerah ini.
“Mereka diibaratkan seperti tulang belakang dalam menjayakan program ini dan kami juga mengucapkan terima kasih atas sokongan yang tidak berbelah bahagi para ibu bapa terhadap program ini,” ujarnya.

Lakonan semula replika Tugu Negara menghiburkan tetamu yang hadir.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Teluk Intan Zairul Akmal Kasim turut teruja dengan persembahan dan semangat kemerdekaan yang dipamerkan oleh murid-murid.
“Tahniah kepada semua yang menjayakan program ini dan rakamlah kenangan bersama anak-anak sebanyak mungkin sebagai kenangan masa hadapan,” katanya dalam ucapan perasmian penutup.
-ZS-