
Laporan/foto: Lee Nyuk Lan/Lydia Humphery Tungkat (Sarawak)
KUCHING, 22 Ogos (Malaysiaaktif) – Peluang dua sahabat menjadi sukarelawan acara wushu di SUKMA XXI Sarawak sepanjang tiga hari acara itu berlangsung merupakan pengalaman berharga yang mereka amat hargai dan akan terus dikenang.
John Phang, 13, dan Aster Dylan, 14, sejak awal lagi sudah menyedari bahawa menjadi sukarelawan memerlukan sikap dedikasi dan usaha yang tidak sedikit.
Walaupun masih muda dan bertubuh kecil tetapi John Phang yang dibimbing jurulatih wushu Jong Chin Wei, ibarat kecil-kecil cili padi begitu aktif membantu melancarkan acara sukan tersebut.

Aster Dylan (paling kanan) bersama rakan-rakan sukarelawan lain.
“Saya rasa gembira kerana dapat berkhidmat untuk mereka yang terlibat dalam sukan ini sambil menyaksikan pertandingan wushu yang mendebarkan.
“Kesempatan ini juga memberi saya inspirasi dan pengalaman berharga dan diharapkan akan membantu saya menyertai pertandingan ini suatu hari nanti,” ujarnya.
Menurutnya lagi, setiap tugasan mempunyai cabaran yang perlu dihadapi dan salah satunya adalah mengangkat ketulan ais.
“Setiap hari kami perlu menukar ketulan ais untuk air cooler, iaitu setiap empat jam.
“Sebelum ini, saya tidak pernah mengangkat ketulan ais yang berat dan sejuk seperti ini,” katanya.
Rakannya, Aster Dylan diberikan tugas menyediakan minuman untuk pengadil pertandingan wushu, memastikan dewan pertandingan sentiasa bersih, menyusun kerusi pengadil dan beberapa tugas yang lain.
“Walaupun rasa letih, tetapi saya tetap bersemangat dan akan terus menyertai sekiranya ada peluang lain pada masa hadapan kerana ini merupakan satu pengalaman yang sangat berharga bagi saya.
“Menjadi sukarelawan dalam acara wushu secara tidak langsung telah memberi saya pengalaman dalam pertandingan wushu,” katanya.
-ZS-