Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Tasek Gelugor Berselawat, Zahirkan Cinta pada Rasulullah SAW

By 20 Ogos 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Faridah Hanim Abdul Ghani/E’liasak Omar (Seberang Perai Utara)

TASEK GELUGOR, 20 Ogos (Malaysiaaktif) – Kompleks Darul Hidayah, Permatang Tok Gelam, kelmarin bergema dengan alunan merdu selawat ke atas Baginda Rasulullah SAW sempena program JIWA Merdeka Komuniti MADANI anjuran Parlimen Tasek Gelugor.

Program yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid turut mendapat sambutan hangat dengan kehadiran pengerusi-pengerusi masjid seluruh Daerah Seberang Perai Utara serta ketua-ketua Komuniti MADANI dalam Parlimen Tasek Gelugor.

Acara utama Tasek Gelugor Berselawat menyaksikan Tausiah disampaikan oleh Ustaz Mohammad Aisamuddin Hj Akob dan Ustaz Muhammad Faris Muhammad Fadhil dari Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang.

“Program seumpama ini perlu diperbanyakkan bagi menarik minat generasi muda untuk menjadikan selawat dan qasidah sebagai amalan harian dalam usaha mengingati junjungan besar Nabi Muhammad SAW,” kata Pengerusi Masjid Permatang Tok Gelam, Hj Ismail bin Daud, 65.

Menambah seri program, tetamu yang hadir dijamu dengan hidangan istimewa nasi talam yang menjadi simbol tradisi kariah Permatang Tok Gelam.

Kumpulan nasyid Fattabiouni Qasidah pula diundang khas untuk memimpin alunan selawat yang memukau hadirin.

Wakil masjid dari daerah Seberang Perai Utara menerima Jalur Gemilang daripada Dr. Mohamad sebagai galakan untuk mengibarkan bendera kebanggaan negara sempena Bulan Kemerdekaan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda